21 Mei 2017

Emas Sebagai Perhiasan

Disebabkan sifatnya yang cantik dan mudah ditempa serta tidak pudar dan terhakis dengan karat (oxide), emas merupakan salah satu logam yang amat sesuai dijadikan aksesori perhiasan terutamanya bagi kalangan wanita. Emas perhiasan menjadikan pemakainya lebih cantik menawan dan elegan. Itulah sebabnya manusia telah merekacipta perhiasan daripada emas sejak beribu-ribu tahun dahulu. Daya tarikan dan kecantikan semulajadi emas sering melambangkan aura kecantikan, kuasa, dan kemewahan.


Membeli atau memilliki emas sebagai simpanan apatah lagi memakainya sebagai perhiasan adalah tindakan yang tidak pernah salah. Emas adalah sesuatu yang kekal bernilai dan dihargai sepanjang zaman. Perhiasan emas sentiasa menjadi pilihan sejak dahulu sampai sekarang.

Emas perhiasan atau barang kemas tidak mempunyai 100% emas sebenar. Ini kerana, emas tulen agak lembut dan tidak kukuh untuk dibuat barang kemas. Ia juga mudah kemek atau calar. Disebabkan itu, logam lain dicampur semasa pembuatan barang kemas supaya ia lebih tahan lasak dan tidak berubah bentuk, serta mampu memegang atau mengikat perhiasan lain seperti batu permata.

Gred Emas Perhiasan

Istilah "Karat" (dengan K) merujuk kepada kehalusan atau ketulenan emas. Jangan terkeliru dengan Carat, kerana istilah (dengan C) merujuk kepada kualiti batu permata seperti berlian.

Karat dilambangkan sebagai K atau kt dan akan diikuti dengan penilaian ketulenan 10, 12, 14, 18, 22, atau 24. Kebanyakan negara-negara maju, mengkehendaki barang kemas dilabel dengan penarafan karat tersebut.


Semakin tinggi karat itu, lebih tulen emas tersebut. Emas 24K melambangkan 99.9% ketulenan, iaitu yang tertinggi yang anda boleh miliki. Emas 24K warnanya kuning emas cerah dan kecantikan sinarnya adalah jelas.

Emas perhiasan 22K adalah mengandungi 91.6% emas tulen. Baki logam biasanya terdiri daripada tembaga, perak atau logam lain. Emas 22K lebih lazim dikenali sebagai emas 916. Dari mana datangnya nombor 916 itu? Ia merujuk kepada 91.6 ataupun 22 bahagi 24 (22K / 24K).

Jadual di bawah adalah kandungan emas per Karat.


Kebiasaannya, Karat yang sesuai untuk penggunaan barang kemas adalah 14K, 18K dan 22K. Makin kurang nilai Karat, makin rendah harganya kerana kandungan emas yang sedikit. Disebabkan itu juga, kilauan warna emas nampak lebih pudar. Akan tetapi, barang kemas yang berkenaan lebih tahan lasak.

Jadi, 3 kriteria ini yang perlu difikirkan apabila membeli emas perhiasan.

Kriteria: 14K | 18K | 22K

Warna: Pudar > Terang
Ketahanan: Keras > Lembut
Harga: Murah > Mahal


Waktu Sesuai Untuk Membeli Barang Kemas? 

Di antara waktu-waktu lazim belian barang kemas adalah seperti berikut:

  • Ulang tahun kelahiran atau hadiah kelahiran anak
  • Ulang tahun perkahwinan 
  • Resepsi, pertunangan, pernikahan atau persandingan 
  • Graduasi 
  • Tanda terima kasih, kenangan atau penghargaan 
  • Hari perayaan 
  • Hari Ibu

Emas perhiasan boleh menjadi hadiah yang sesuai kerana ia boleh diturunkan dari generasi ke generasi. Ingat, emas kekal selamanya. Ia tiada tarikh luput, tidak rosak, cair atau terhakis. Ia masih akan menjadi cantik apabila generasi anda yang seterusnya memakainya.

Selain itu, emas perhiasanya boleh dipajakkan sekiranya anda memerlukan wang untuk urusan kecemasan. Barang kemas lain seperti perak atau berlian sangat sukar untuk dipajakkan.




0 comments:

Catat Ulasan