15 Oktober 2016

Selesaikan Hutang Rumah Dalam Masa Singkat


Bagi kebanyakan orang, rumah merupakan aset yang paling mahal yang dibeli sepanjang kehidupan di muka bumi Allah Ta'ala ini. Oleh itu, bantuan kewangan daripada pihak bank diperlukan untuk membayar harga rumah tersebut. Biasanya, tempoh pinjaman akan memakan masa yang lama, iaitu antara 20 ke 35 tahun.

Disebabkan tempoh pinjaman yang lama itu, bayaran faedah melonjak naik. Dan kebiasaannya, keseluruhan bayaran ini melebihi harga rumah sehingga mencapai 2 atau 3 kali ganda.

Untuk tahun-tahun terawal pinjaman perumahan, anda hanya masih membayar untuk caj faedah bank sahaja! Hutang pokok masih belum berusik dan berbayar.

Walau bagaimanapun, ada cara (atau lebih tepat lagi beberapa cara atau gabungan cara) untuk menyelesaikan hutang rumah dalam masa yang singkat. Matlamatnya adalah dengan cara melunaskan bayaran hutang pokok secepat mungkin.

1. Ansuran beserta tambahan

+ Membayar ansuran bulanan beserta amaun tambahan.
+ Bertujuan untuk mengurangkan faedah yang dikenakan untuk bulan seterusnya.
+ Hutang lebih cepat diselesaikan kerana caj faedah akan berkurangan.

2. Bayaran 2 minggu sekali

+ Bayar ansuran setiap 2 minggu dan bukannya setiap bulan
+ Ansuran bulanan dibahagi 2.
+ Bayaran menjadi 26 kali setahun berbanding 12 kali setahun. (Ingat, setahun ada 52 minggu)
+ Boleh mengurangkan caj faedah.

3. Bayaran wang besar

+ Jika ada wang lebihan (contohnya menang cabutan bertuah atau majikan memberi bonus / ex gratia / merit), gunakannya untuk membuat bayaran hutang rumah.

4. Berunding dengan bank

+ Jumpa dengan pegawai bank untuk merendahkan atau mengurangkan kadar faedah.
+ Kebiasaanya di Malaysia, amalan ini amat jarang dipraktikkan dan tidak mendapat layanan daripada pihak bank.

5. Pembiayaan semula

+ Pindahkan hutang rumah kepada bank yang menawarkan kadar faedah yang lebih rendah.
+ Pertimbangkan pembiayaan semula jika kadar faedah yang ditawarkan adalah 2% lebih rendah daripada kadar asal.
+ Ambil kira juga kos-kos sampingan seperti bil guaman, kos perjanjian jual beli, duti setem, cukai dan sebagainya.

6. Bayar awal

+ Membuat pembayaran awal sebelum tarikh matang (due date).

7. Kekalkan bayaran ansuran

+ Jika anda mengambil pembiayaan kadar faedah berubah-ubah (flexible rate), kekalkan kadar bayaran sekiranya kadar berkenaan diturunkan oleh bank.

8. Gabungan cara

+ Anda boleh mengabungkan cara seperti diterangkan di atas, mengikut kesesuaian.
+ Berhati-hati dengan setiap keputusan dan fikir sekurang-kurangnya 10 kali sebelum membuat keputusan.

Perlu diingatkan, strategi ini hanya dapat diaplikasikan terhadap pinjaman perumahan sahaja. Ia tidak terpakai untuk hutang-hutang lain seperti hutang pinjaman peribadi, kereta, kad kredit dan sebagainya.

Bank-bank mungkin tidak membenarkan sesetengah cara seperti di atas. Contohnya, bank mungkin tidak membenarkan bayaran melebihi ansuran bulanan sebagaimana yang telah ditetapkan. Erti kata lain, bank mahu anda buat bayaran amaun yang tetap.

Antara kriteria yang dikira sebagai advantage dalam pemilihan bank bagi pembiayaan pinjaman perumahan:

1. Pengiraan kadar faedah harian (daily rest interest calculation)
2. Dibenarkan bayar ansuran melebihi amaun ditetapkan.
3. Dibenarkan membuat bayaran melebihi sekali sebulan.
4. Kadar faedah yang tetap.

Hadkan kadar ansuran bulanan tidak lebih 40% daripada pendapatan bulanan.

Anda tentu tertanya-tanya, "Sekiranya saya dapat berjimat dengan melakukan perkara-perkara ini, kenapa saya tidak pernah tahu mengenainya sebelum ini? Kenapa bank tidak memberitahu tentang ini?"

Jawapannya mudah sahaja, sama ada:

1. Bank tidak mahu memberitahu anda kerana ia tidak menguntungkan pihak mereka.
2. Pegawai bank sendiri tidak menyedari akan hal ini.

Wallahu'alam.

Sumber:

1. Azizi Ali, "Jutawan dari Planet Jupiter!" Edisi Ketiga, Cetakan Kelima, 2014, m/s 116-120.
2. Facebook Page Azizi Ali - Mentor Wang

Gambar diambil oleh FB Page Azizi Ali Mentor Wang

Gambar diambil oleh FB Page Azizi Ali Mentor Wang

0 comments:

Catat Ulasan