13 Oktober 2013

Puasa Hari Arafah

Hari Arafah merupakan hari yang mempunyai kelebihan tersendiri. Jika para jemaah haji diwajibkan berada di padang Arafah untuk wuquf di sana, kita yang tidak berkesempatan untuk menunaikan haji dianjurkan untuk berpuasa pada hari ini. Kedatangannya setahun sekali ini janganlah disia-siakan. Kita juga dianjurkan untuk berzikir dan berdoa kepada Allah pada hari yang mulia ini.

Antara kelebihan puasa sunat hari Arafah ialah: 

1. Diampuni dosa setahun yang lepas dan setahun yang akan datang.
Dari Abu Qatadah r.a berkata, Rasulullah S.A.W pernah ditanya tentang puasa hari Arafah, kemudian Baginda menjawab:
"Puasa itu (puasa hari Arafah) dapat menebus dosa setahun yang telah berlalu dan setahun akan datang."  - [Hadith Riwayat Muslim] 

2. Amalan terbaik yang disukai ALLAH Ta'ala kerana ia termasuk dari 10 hari pertama dari bulan Zulhijjah. 
Dari Ibnu `Abbas r.a bahawa Nabi S.A.W bersabda:
"Tidak ada hari yang amal soleh padanya lebih dikasihi ALLAH selain dari hari-hari yang sepuluh ini (pada bulan Zulhijjah)."
Para sahabat bertanya: "Walaupun berjihad di jalan ALLAH?"
Rasulullah S.A.W bersabda: "Walaupun berjihad di jalan ALLAH, kecuali lelaki yang keluar berjihad membawa diri serta hartanya dan tidak kembali lagi selepas itu (syahid)." - [Hadith Riwayat al-Bukhari]

3. Hari yang paling banyak dibebaskan dari api neraka. 
Dari `A’isyah r.a berkata bahawa Rasulullah S.A.W bersabda:
"Tidak ada hari yang lebih ramai ALLAH Ta`ala membebaskan hambaNya daripada api neraka lebih daripada hari Arafah." - [Hadith Riwayat Muslim]

Dari Amr bin Syuaib dari ayahnya dari datuknya, Nabi S.A.W bersabda:
"Sebaik-baik doa ialah doa yang dibaca pada hari Arafah dan sebaik-baik ucapan yang aku ucapkan serta nabi-nabi sebelumku ialah: Tiada tuhan yang berhak disembah melainkan Allah yang Esa tiada sekutu bagiNya, bagiNya kerajaan dan bagiNya kepujian dan Dia berkuasa ke atas setuap sesuatu." - [Hadith Riwayat Tirmizi, hadith ini hasan]

Bagi jemaah haji, mereka tidak disunatkan berpuasa. Malah disunatkan berbuka sebagai mengikut Nabi S.A.W dan supaya dia tetap kuat dan gagah untuk memperbanyakkan doa pada hari tersebut.

Semoga amalan kita bertambah dari tahun yang telah lalu dan dosa kita diampunkan oleh Allah. Gunakanlah segala peluang yang ada demi menambah lagi bekal akhirat kita sebelum bertemu Allah di hari yang tidak ada pertolongan lain selain mereka yang menemuiNya dalam keadaan hati yang bersih dan selamat daripada kekotoran dosa dan noda. 

Sumber rujukan: 


0 comments:

Catat Ulasan