03 September 2013

Harga petrol RON95 dan diesel naik 20 sen seliter


PUTRAJAYA -  Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak hari ini mengumumkan kenaikan harga minyak RON95 dan diesel sebanyak 20 sen bermula 3 September 2013.

Berikutan itu, RON 95 kini dijual pada harga RM2.10 seliter manakala diesel RM2 seliter.

Ini merupakan salah satu langkah rasionalisasi subsidi oleh kerajaan, kata beliau dalam sidang akhbar di sini hari ini.

Pada masa ini kerajaan menanggung subsidi sebanyak 83 sen seliter bagi RON95 dan RM1 seliter bagi diesel, kata Najib yang juga Menteri Kewangan.

Jumlah bahan api yang diperuntukkan oleh kerajaan bagi tahun ini ialah RM24.8 bilion.

Pengurangan subsidi sebanyak 20 sen ini bermakna kerajaan masih memberi subsidi sebanyak 63 sen seliter bagi RON95 dan 80 sen seliter untuk diesel.

Bagi mengurangkan bebanan golongan berpendapatan rendah dan mudah terjejas berikutan rasionalisasi subsidi bahan api, kerajaan akan meningkatkan pemberian BR1M dalam Bajet 2014 yang jumlahnya akan diumumkan dalam ucapan bajet.

Menjawab mengenai kemungkinan kenaikan inflasi selepas kenaikan harga bahan api tersebut, Najib berkata inflasi pada masa ini masih rendah dan dijangkakan kesan itu tidak akan memudaratkan rakyat.

"Mungkin peningkatannya tidak begitu tinggi," kata beliau.

Semasa ditanya mengenai cukai barangan dan perkhidmatan, beliau berkata: "Apa sahaja berkaitan GST akan diumumkan dalam ucapan belanjawan."

Menyentuh mengenai ringgit, beliau berkata ringgit mendapat kesan ekonomi luar dan di luar kawalan negara.

"Bank Negara menyedari akan hal ini dan tidak memberi kita tekanan yang tidak wajar pada masa ini tetapi kita percaya apa yang penting ialah untuk mengukuhkan asas ekonomi," kata beliau.

Najib terdahulu mempengerusikan mesyuarat jawatankuasa dasar fiskal yang berlangsung setiap enam bulan sekali. 

Sumber:

0 comments:

Catat Ulasan