23 September 2013

16 September 2013

Solat Dhuha

Solat Dhuha adalah solat yang berkait rapat dengan rezeki sama ada dipermudahkan rezeki, rezeki diberkati, kemanfaatan rezeki dan pahala yang tinggi nilainya. Manakala di akhirat pula, Allah menyediakan pintu khusus baginya memasuki syurga. Solat Sunat Dhuha boleh dianggap sebagai rasa terima kasih seseorang hamba kepada Allah S.W.T atas segala berkah hidup yang diberikan-Nya.

Jumlah rakaat yang paling banyak yang dikerjakan oleh Rasulullah ialah lapan rakaat dan paling banyak yang disabdakan oleh baginda ialah 12 rakaat. Paling sedikit yang boleh dikerjakan adalah dua rakaat. Nabi Muhammad S.A.W bersabda: “Wahai anak Adam! Janganlah sekali-kali kamu malas mengerjakan empat rakaat solat Dhuha, maka akan aku cukupkan keperluanmu sehingga waktu petang.” (Hadith Riwayat Al-Hakim dan At-Tabrani)

Solat sunat Dhuha dilakukan pada waktu matahari sedang naik. Sekira cuacanya berhalangan adalah lebih mudah dengan merujuk kepada takwim waktu solat. Masanya adalah 28 minit selepas Syuruk, iaitu sekiranya waktu Syuruk 7.32 pagi dan ditambah 28 minit, maka masuknya waktu Dhuha bermula jam 8.00 pagi. Walaupun begitu waktu paling afdal melakukan Solat Sunat Dhuha adalah anggaran matahari naik, tinggi segalah (7 hasta atau 3 meter), lebih kurang dalam pukul 9.30 pagi.

Solat ini boleh dilakukan sekurang-kurangnya 2 rakaat sehinggalah 12 rakaat, tetapi yang paling banyak dikerjakan oleh Rasulullah ialah 8 rakaat. Ia boleh juga dilakukan sebanyak 4, 6, 8 sehingga 12 rakaat dan setiap 2 rakaat satu salam dan boleh juga setiap 4 rakaat satu salam.

Sebaik-baiknya solat Dhuha ini dikerjakan setiap hari kerana ia mempunyai banyak kelebihan dan fadhilatnya, dimana seseorang itu akan memperolehi keampunan Allah S.W.T, murah rezeki dan ketenangan jiwa serta kehidupan.

Antara kelebihan solat Dhuha adalah seperti berikut: 
  1. Solat Dhuha adalah satu bentuk sedekah
  2. Ia sebagai cara menyampaikan kesyukuran terhadap segala nikmat yang diberi oleh Allah S.W.T
  3. Ganjaran pahala mengerjakannya hampir menyamai mengerjakan haji dan umrah
  4. Solat Dhuha adalah solat orang-orang bertaubat dan yang ingin memohon keberkatan hidup dunia dan akhirat
  5. Solat Dhuha sebagai penjemput rezeki kepada orang yang mengerjakannya

Sumber: 

03 September 2013

Harga petrol RON95 dan diesel naik 20 sen seliter


PUTRAJAYA -  Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak hari ini mengumumkan kenaikan harga minyak RON95 dan diesel sebanyak 20 sen bermula 3 September 2013.

Berikutan itu, RON 95 kini dijual pada harga RM2.10 seliter manakala diesel RM2 seliter.

Ini merupakan salah satu langkah rasionalisasi subsidi oleh kerajaan, kata beliau dalam sidang akhbar di sini hari ini.

Pada masa ini kerajaan menanggung subsidi sebanyak 83 sen seliter bagi RON95 dan RM1 seliter bagi diesel, kata Najib yang juga Menteri Kewangan.

Jumlah bahan api yang diperuntukkan oleh kerajaan bagi tahun ini ialah RM24.8 bilion.

Pengurangan subsidi sebanyak 20 sen ini bermakna kerajaan masih memberi subsidi sebanyak 63 sen seliter bagi RON95 dan 80 sen seliter untuk diesel.

Bagi mengurangkan bebanan golongan berpendapatan rendah dan mudah terjejas berikutan rasionalisasi subsidi bahan api, kerajaan akan meningkatkan pemberian BR1M dalam Bajet 2014 yang jumlahnya akan diumumkan dalam ucapan bajet.

Menjawab mengenai kemungkinan kenaikan inflasi selepas kenaikan harga bahan api tersebut, Najib berkata inflasi pada masa ini masih rendah dan dijangkakan kesan itu tidak akan memudaratkan rakyat.

"Mungkin peningkatannya tidak begitu tinggi," kata beliau.

Semasa ditanya mengenai cukai barangan dan perkhidmatan, beliau berkata: "Apa sahaja berkaitan GST akan diumumkan dalam ucapan belanjawan."

Menyentuh mengenai ringgit, beliau berkata ringgit mendapat kesan ekonomi luar dan di luar kawalan negara.

"Bank Negara menyedari akan hal ini dan tidak memberi kita tekanan yang tidak wajar pada masa ini tetapi kita percaya apa yang penting ialah untuk mengukuhkan asas ekonomi," kata beliau.

Najib terdahulu mempengerusikan mesyuarat jawatankuasa dasar fiskal yang berlangsung setiap enam bulan sekali. 

Sumber: