18 Ogos 2011

Solat Tahajud

Solat sunat tahajud ialah solat yang dilakukan pada tengah malam selepas bangkit daripada tidur, iaitu sewaktu keadaan senyap sunyi di kala semua manusia sedang nyenyak tidur. Waktu solat sunat tahajud ini adalah sesudah waktu Isyak sampai terbit fajar (sehingga masuk waktu Subuh). Seseorang itu disyaratkan supaya perlu tidur dahulu pada waktu malam sebelum bangun untuk melakukan solat tahajud. Solat ini tiada terbatas rakaatnya, paling sedikit dilakukan ialah dua rakaat. Jadi cara melakukannya adalah dengan dua rakaat satu salam.

Terlalu banyak fadilat dan kelebihan solat tahajud. Ini kerana solat tahajud merupakan suatu amalan yang sukar dilakukan. Walaupun bilangan rakaatnya (paling kurang) hanya dua sahaja tetapi tidak semua orang mampu melakukan. Apatah lagi waktunya adalah pada waktu malam dan selepas tidur. Oleh itu Allah dan RasulNya menjanjikan ganjaran yang besar terhadap mereka yang sanggup melepaskan selimutnya semata-mata untuk mengerjakan tahajud.

Firman Allah Ta'ala:

"Wahai orang yang berselimut, bangunlah untuk solat pada malam hari walaupun sedikit daripadanya (iaitu) seperdua atau kurangilah daripada seperdua itu sedikit, atau lebih daripada seperdua itu dah bacalah al-Quran itu dengan perlahan-lahan."
[Surah al-Muzzammil, ayat 1-4]

Para ulamak telah ijmak mengatakannya solat ini sebagai sunat. Ia pernah diwajibkan pada zaman permulaan Islam. Bagi orang-orang yang telah biasa melakukan tahajud, makruh hukumnya meninggalkan tahajud.  Adalah paling afdal untuk mentakhirkan (melewatkan) solat ini. Dimakruhkan juga mengkhususkan malam Jumaat untuk mengerjakan solat tahajud. Maksudnya, kita mengkhususkan sembahyang tahajud hanya pada malam Jumaat sahaja. Orang yang hendak bertahajud disunatkan qailulah, iaitu tidur sedikit sebelum tergelincir matahari. Disunatkan juga memperpanjangkan berdiri dari memperbanyakkan sujud ketika melakukan solat tahajud. Selepas mengerjakannya, disunatkan berdoa dengan doa yang khusus ataupun apa jua doa yang ingin dipohon dan mintalah dengan bahasa kita sendiri.

Solat tahajud mempunyai banyak kelebihan dan fadhilat yang tinggi di sisi Allah S.W.T. Antaranya ialah:
  • Ditempatkan di akhirat nanti di tempat yang terpuji.
  • Mendapat keredhaan daripada Allah S.W.T. 
  • Dapat mendekatkan diri kepada Allah Ta'ala. 
  • Dikabulkan segala doa dan permohonan serta diampunkan dosanya. 
  • Terhindar daripada segala penyakit tubuh badan dan mncegah daripada melakukan dosa dan kejahatan. 
  • Dijanjikan masuk syurga dengan selamat sejahtera. 
  • Mendapat syafaat baginya dan ahli keluarganya. 
  • Dijadikan orang yang bijaksana dengan dikurniakan pengetahuan yang tinggi. 
  • Dibangkitkan daripada kubur dengan wajahnya yang putih bercahaya. 
  • Diringankan hisabnya. 
  • Dipermudahkan baginya meniti shirat (jambatan) seperti kilat. 
  • Diberi buku amalan dengan tangan kanan di akhirat kelak. 

Sumber rujukan dan bahan bacaan lanjut:
  1. Indahnya Hidup Bersyariat - Dato' Ismail Kamus (Cetakan Mac 2009) 
  2. http://amanah2u.com/?p=388
  3. http://albakri88.wordpress.com/2009/05/04/cara-solat-sunat-duha-dan-sunat-tahajjud/   
  4. http://www.ustazahazimah.amirhakimi.com/2010/01/26/solat-sunat-tahajjud/

0 comments:

Catat Ulasan