03 Jun 2011

Masjid Ubudiah Kuala Kangsar

Masjid yang terindah di Negeri Perak ini terletak di sebelah kawasan permakaman Di Raja Bukit Chandan, Kuala Kangsar. Masjid ini dibina di atas kehendak Sultan Idris Murshidul Azam Shah, Sultan Perak ke-28 (1887-1916) kerana menunaikan nazar baginda yang sedang berehat selepas menerima rawatan di Port Dickson.

Setelah berangkat balik ke Kuala Kangsar, Baginda telah menitah Colonel Huxley dari Jabatan Kerja Raya, Kuala Lumpur, untuk merekabentuk sebuah masjid yang hendak didirikan. Arkitek yang ditugaskan merekabentuk masjid ini ialah Mr. Hubbeck, yang menggunakan senireka 'Moor' dan Mr Caulfield, Jurutera Negeri Perak, telah ditugaskan melaksanakan bangunan Masjid ini.  Senireka yang diilhamkan oleh Mr. Hubbeck telah menjadikan Masjid Ubudiah salah satu masjid yang mempunyai nilai senireka yang bermutu tinggi sehingga ianya mendapat tempat dalam pelan pelancongan. 

Pada hari Jumaat, 26 September 1913, Sultan Idris Murshidul Azam Shah, telah meletakkan batu asas masjid tersebut. Walau bagaimanapun pembinaannya telah tergendala apabila batu-batu marmar yang dibeli dari Itali telah pecah dipijak oleh dua ekor gajah kepunyaan Baginda dan Raja Chulan. Mengikut cerita, dengan tidak semena-mena seekor gajah Baginda bernama Kulub Chandan dan gembalanya bernama Kulup Sa'id telah berjuang dengan seekor gajah kepunyaanya Raja Chulan ibni Sultan Abdullah, bernama Kulub Gangga dan gembalanya bernama Uda Debok.

Perjuangan gajah itu telah melarat ke tempat simpanan batu marmar tersebut dan akibatnya musnahlah batu marmar itu.  Perjuangan itu berlanjutan hingga berjam-jam, sehingga Raja Chulan sendiri datang, menyeru nama gajahnya dan memerintahkannya berhenti, maka barulah gajah itu berhenti berjuang, walaupun telah ramai yang cuba meleraikan gajah itu tetapi tidak berhasil.

Oleh sebab batu marmar itu telah musnah, maka terpaksalah dipesan semula dari Itali. Tetapi malangnya, batu marmar yang dipesan itu telah lambat sampai oleh kerana cetusan Perang Dunia Pertama di Eropah. Batu Marmar itu telah dibawa melalui Afrika Selatan. Walau bagaimanapun pada tahun 1917, masjid ini telah siap dibina dan dibuka dengan rasminya oleh Sultan Abdul Jalil Karamatullah Shah (1916 - 1918) yang menggantikan Sultan Idris yang mangkat pada tahun 1916. Perbelanjaan pembinaan Masjid Ubudiah pada ketika itu dianggarkan berjumlah RM200,000.

Sumber:

0 comments:

Catat Ulasan