17 April 2011

Barisan Nasional Menang Pilihanraya Negeri Sarawak

Barisan Nasional (BN) mengekalkan pemerintahan di Sarawak dengan majoriti dua pertiga walaupun berhadapan dengan tentangan sengit khususnya di kawasan pengundi Cina.

BN memperbaharui mandat rakyat apabila menang 55 daripada 71 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) yang sebahagian besarnya disumbang oleh Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB). 

Berikutan kemenangan itu, Pengerusi BN negeri yang juga Presiden PBB, Tan Sri Abdul Taib Mahmud malam ini mengangkat sumpah sebagai Ketua Menteri di hadapan Yang Dipertua Negeri Sarawak, Tun Abang Muhammad Salahuddin Abang Barieng dalam satu majlis.

Pilihan raya negeri kali ini menyaksikan Parti Bersatu Rakyat Sarawak (SUPP) kalah teruk malah Presidennya yang juga Timbalan Ketua Menteri, Tan Sri George Chan Hong Nam tewas kepada calon DAP di DUN Piasau.

Satu lagi parti komponen BN negeri ialah Parti Rakyat Sarawak (PRS) yang menang lapan daripada sembilan kerusi yang ditandinginya.

Walaupun berjaya merampas DUN Ngemah daripada Parti Cinta Malaysia (PCM), PRS kehilangan satu kerusi di Pelagus yang merupakan satu-satunya kawasan yang dimenangi calon Bebas iaitu George Lagong.

Parti Progresif Demokratik Sarawak (SPDP) yang menyapu bersih lapan kerusi pada pilihan raya negeri 2006 pula gagal mengulangi pencapaian itu apabila menang di enam DUN sahaja dan tewas di Ba’kelalan dan Krian.

Pencapaian terbesar parti pembangkang dilakar oleh DAP yang menawan hampir keseluruhan kawasan majoriti pengundi Cina apabila menang di 12 kerusi.

Parti Keadilan Rakyat (PKR) pula hanya berjaya menawan tiga DUN iaitu Batu Lintang, Krian dan Ba’kelalan.

Manakala PAS pula kalah di semua kerusi yang ditandingi oleh wakil mereka.

Walaupun gagal untuk menafikan BN Sarawak majoriti dua pertiganya dalam pilihan raya negeri semalam, tetapi Pakatan Rakyat berpuas hati kerana undi popular BN telah merosot lapan peratus.

BN kalah hampir semua kerusinya di kawasan bandar dan tiga kerusi luar bandar. Pakatan pula berjaya memenangi 15 kerusi, dan satu lagi kerusi dimenangi calon Bebas.

Keputusan penuh: http://prusarawak.spr.gov.my/dunsarawak/laporan/5_awamPAPARAN.php

Sumber: Berita Harian, Utusan Malaysia, Malaysiakini.

0 comments:

Catat Ulasan