19 Mac 2011

Syarat Baharu Pemilikan Kad Kredit

Bank Negara Malaysia (BNM) hari ini mengumumkan syarat-syarat baharu lebih ketat berkuat kuasa serta-merta bagi pemilikan kad kredit.

Timbalan Gabenor BNM, Nor Shamsiah Mohd. Yunus berkata, di bawah garis panduan itu, syarat-syarat kelayakan untuk mendapatkan kad kredit baharu memerlukan had pendapatan minimum dinaikkan kepada RM24,000 setahun berbanding RM18,000 sebelum ini.

"Para pemegang kad yang berpendapatan RM36,000 setahun atau kurang, hanya boleh memiliki kad kredit daripada dua pengeluar kad sahaja.

"Mereka yang sedia ada memiliki kad kredit lebih daripada dua pengeluar kad diberi tempoh sehingga akhir tahun ini untuk menentukan pengeluar kad yang menjadi pilihan.

"Selain itu tempoh masa sekurang-kurangnya dua tahun diberikan kepada pemegang kad untuk menyelesaikan baki hutang kad kredit yang dibatalkan," kata kepada pemberita selepas memberikan taklimat mengenai garis panduan baharu kad kredit di sini hari ini.

Nor Shamsiah berkata, had maksimum kredit yang diberikan kepada pemegang kad berkenaan tidak boleh melebihi dua kali ganda pendapatan bulanan mereka dengan setiap pengeluar.

"Bagi mereka yang mempunyai baki hutang kad kredit melebihi had maksimum kredit yang ditetapkan diberikan tempoh penangguhan selama dua tahun untuk memenuhi keperluan baharu itu," jelasnya.

Pada masa ini, pemegang kad kredit di Malaysia adalah seramai 3.2 juta orang dengan 50 peratus adalah mereka yang berpendapatan kurang dari RM36,000 setahun.

Nor Shamsiah menjelaskan garis panduan baharu itu merupakan usaha berterusan untuk menggalakkan pemegang kad kredit mengamalkan amalan pengurusan kewangan berhemat.

"Kami melihat terdapat aliran peningkatan dalam hutang isi rumah yang disebabkan oleh kad kredit tetapi ia tidak membimbangkan. Perkembangan ini, bagaimanapun perlu dikawal supaya tidak menjadi lebih buruk.

"Pengenaan syarat-syarat baharu juga bertujuan menggalakkan amalan perniagaan yang wajar dan bertanggungjawab oleh pengeluar kad kredit," kata beliau.

Pada masa yang sama, pengeluar kad kredit juga ditegah menaikkan had kredit dan menawarkan pendahuluan dalam bentuk cek berbayar tanpa dipohon dan mendapat persetujuan pemegang kad terlebih dahulu.

"Pengeluar kad dikehendaki menyediakan lembaran penzahiran produk (produk disclosure sheet) yang mempunyai maklumat penting, yuran dan tanggungjawab pemegang kad dengan jelas," katanya.

Nor Shamsiah berkata, dalam usaha meningkatkan ciri-ciri keselamatan kad kredit, semua urus niaga yang menggunakan instrumen bayaran berkenaan akan memerlukan pengesahan PIN, bermula 1 Januari 2015.

Beliau berkata, maklumat urus niaga menggunakan kad kredit juga akan dihantar oleh bank kepada pemegang kad menerusi khidmat pesanan ringkas (SMS) berkuat kuasa 1 Januari depan.

"Bank juga akan melaksanakan lebih banyak pengesahan keselamatan untuk urus niaga dalam talian bermula 1 April tahun depan," katanya.

Sementara itu, Persatuan Bank-Bank Dalam Malaysia (ABM) memberi jaminan kepada pemegang kad kredit, kedudukan kewangan mereka akan dinilai oleh bank ketika melaksanakan garis panduan baru itu.

"Garis panduan itu baru saja dikeluarkan, justeru, ahli kami serta pengeluar kad lain kini sedang mengkaji semula operasi masing-masing dan membuat perubahan dalam proses berkaitan.

"Diharapkan, bank dan pengeluar kad diberikan tempoh yang wajar untuk menyelesaikan kajian semula itu seterusnya memberi maklumat kepada pengguna terhadap pendekatan yang akan digunakan kelak," kata Pengarah Eksekutifnya, Chuah Mei Lin.

Dalam pada itu, Mei Lin berkata, ABM dan pengeluar kad bank komersial sudah menyediakan senarai soalan yang mungkin dikemukakan pengguna dan jawapan berkaitan dengannya untuk memudahkan rujukan dibuat apabila mengendalikan pertanyaan daripada pemegang kad kredit yang terbabit.

"Pelanggan yang berdepan kesulitan boleh menghubungi bank masing-masing untuk berbincang situasi peribadi mereka supaya nasihat boleh diberikan," katanya.

Sumber: Utusan Malaysia, Berita Harian.

P/s: Pakai 2 kad kredit pun cukuplah..

0 comments:

Catat Ulasan