30 Januari 2011

BN Kekalkan Kerusi DUN Tenang, Menang Majoriti Besar

Barisan Nasional (BN) mempertahankan kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Tenang selepas calonnya, Mohd Azahar Ibrahim menang dengan majoriti undi 3,707, mengatasi calon PAS, Normala Sudirman.

Keputusan pilihan raya kecil itu diumumkan tepat jam 10.03 malam oleh Pegawai Pengurus Pilihan Raya, Md Asri Amir di Pusat Penjumlahan Undi di Dewan Serbaguna Majlis Daerah Labis di sini.

Mohd Azahar memperoleh 6,699 undi manakala Normala 2,992 undi. Dalam pilihan raya kecil itu, Mohd Azahar, 39, yang juga bekas Penolong Pentadbir Tanah Daerah Kecil Rengit, Batu Pahat, dicabar oleh Normala, 38, yang juga seorang bekas guru.

Sebanyak 71.8 peratus atau 10,579 pengundi daripada 14,753 pemilih berdaftar bagi pilihan raya kecil DUN Tenang keluar mengundi sehingga proses pengundian ditutup 5 petang tadi.

Timbalan Pengerusi Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR), Datuk Wan Ahmad Wan Omar berkata, jumlah peratusan itu lebih rendah berbanding pilihan raya umum 2008 iaitu 73.52 peratus.

"Ini disebabkan oleh keadaan cuaca yang buruk sehingga laluan ke beberapa pusat pengundian dinaiki air serta kawasan seperti Pekan Lama Labis dilanda banjir," katanya.

Pada Pilihan Raya Umum Ke-12 menyaksikan Allahyarham Datuk Sulaiman Taha menewaskan calon PAS, Mohd Saim Siran dengan majoriti 2,492 undi.

Kejayaan Barisan Nasional mengekalkan DUN Tenang hari ini, adalah kemenangan ke-14 dalam pilihan raya kecil yang diadakan selepas pilihan raya umum 2008. Pakatan Rakyat pula memenangi lapan pilihan raya kecil. Pakatan menang di Sibu, Kuala Terengganu, Bukit Gantang, Permatang Pauh, Permatang Pasir, Manek Urai, Penanti dan Selambau. BN pula menang di Tenang, Hulu Selangor, Galas, Sapi, Bagan Batu dan Pinang.

Sumber:

23 Januari 2011

Serunding

Serunding merupakan sejenis masakan yang dibuat dengan rempah dan dimasak sehingga kering, dan kadangkala berminyak (terutama serunding daging) agar tahan lama. Ia dimasak dan dikacau tanpa henti hingga betul-betul kering kerana dengan cara itu saja ia akan tahan lama. Antara serunding yang biasa adalah serunding daging, ayam, ikan, udang dan ikan bilis. Ia adalah hidangan yang lazim pada Hari Raya Puasa dan Hari Raya Haji. Masyarakat melayu selalu membuat serunding terutama apabila banyak daging korban (Hari Raya Haji). Serunding boleh dimakan dengan nasi himpit, ketupat nasi, ketupat daun palas, lemang dan sebagainya. Serunding juga boleh dijadikan inti bagi beberapa kuih seperti popia dan karipap mini.

Serunding dikatakan berasal dari Negeri Kelantan Darulnaim dan banyak diusahakan secara tradisional di Kampung Laut, Palekbang yang terletak di Jajahan Tumpat, Kelantan. Kini Kampung Laut telah menjadi antara pusat pembuatan serunding yang terbesar di Malaysia. Di Kelantan, ianya lebih di kenali dengan nama sambal daging, sambal ayam ataupun sambal ikan.

Ramuan asas serunding dibuat dengan menggunakan daging lembu atau ayam atau ikan, rempah ratus khas, lada kering asli, santan, ketumbar, bawang merah, bawang putih, garam, gula secukup rasa dan beberapa bahan lain lagi. Pembuatan serunding adalah secara tradisional yang diwarisi dari orang tua yang diperturunkan kapada generasi kini. Kebanyakan pengeluar terdiri daripada pengusaha industri kampung, yang mengusahakan secara kecil-kecilan di dalam bangsal khas yang dibina tepi-tepi rumah. Serunding dimasak di dalam kawah-kawah tembaga dan tidak dibuat dengan mesin secara kuantiti yang banyak sekali gus, kerana jika dibuat dengan mesin, daging akan menjadi hancur dan lumat. Daging disiat-siat dengan menggunakan cara tradisional iaitu dengan tangan supaya gentian daging tidak rosak dan hancur. Proses ini memerlukan kemahiran yang khusus.

Proses pembuatan serunding ini adalah agak rumit. Daging tanpa lemak yang terpilih  dikukus sehingga 6-8 jam. Selepas disejukkan, ianya diracik-racik dan disiat-siat menjadi gentian daging yang selari memanjang bentuknya. Selepas itu daging berkenaan barulah dimasak di dalam kawah tembaga bersama dengan santan kelapa, beberapa jenis rempah, lada dan garam mengikut sukatan tertentu dan dikacau tanpa henti sehingga kering. Proses mengacau hingga kering ini mengambil masa sehingga 5 jam.

Serunding yang dimasak sehingga kering dengan cara yang betul boleh disimpan sehingga 1 tahun lamanya selepas dibungkus, dan amat sesuai jika dibawa untuk merantau ke luar negara, seperti jemaah haji yang menunaikan haji, kontinjen sukan yang beraksi di luar negara, atau pelajar yang sedang menuntut di luar negara. Selepas dibuka dari pembungkus, serunding ini disyorkan disimpan pada suhu bilik, dalam bekas kedap udara. Serunding hendaklah dihabiskan dalam tempoh tidak lebih dari 1 bulan. Ia tidak digalakkan disimpan dalam peti sejuk, kerana akan mengurangkan rasa dan kelazatannya. Elakkan menyimpan serunding dalam tempat yang panas, seperti dalam but kereta.

Serunding bukan lagi makanan berasaskan selera kaum atau batas negara tertentu kerana ia mampu menjadi kegemaran semua dan sehubungan itu, potensinya cukup besar untuk dikomersialkan. Serunding kini bukan sahaja berada di pasaran tempatan malah ianya telah berjaya menembusi pasaran global seperti Asia Tenggara, Timur Tengah, China dan lain-lain.

Sumber rujukan:

22 Januari 2011

Nasi Lemak

Nasi lemak merupakan makanan kegemaran bagi rakyat Malaysia terutama sebagai sarapan pada waktu pagi. Nasi lemak merujuk kepada nasi yang dimasak dengan menggunakan santan kelapa, bagi menambah rasa lemaknya. Kadangkala daun pandan dimasukkan semasa nasi lemak dimasak bagi menambahkan aromanya.

Nasi lemak biasanya dihidangkan dengan telur rebus, timun, ikan bilis goreng dan sambal. Ianya disajikan dan dialas menggunakan daun pisang. Tetapi kini nasi lemak dijual dengan pelbagai lauk seperti telur goreng, daging, ayam, sotong, udang, kerang, limpa dan hati lembu. Kacang goreng juga dihidang bersama sebagai sajian tambahan.

Nasi lemak bukanlah satu makanan sarapan harian pada pada asalnya. Amalan pemakanan nasi lemak merupakan satu bekalan kepada pesawah-pesawah padi mahupun yang mengusahakan kebun seperti getah, kelapa sawit, sayur-sayuran dan lain-lain. Pada masa dahulu, kebanyakan petani dan pekebun di Semenanjung Malaysia, Selatan Thai, Brunai, Singapura dan sebahagian Indonesia sering dibekalkan nasi lemak kerana ia mampu memberi tenaga kepada mereka ini yang membanting keringat sepanjang hari.

Pada masa kini, nasi lemak bukan sahaja dinikmati pada waktu pagi. Malahan, ia dinikmati pada waktu makan tengah hari dan malam. Oleh sebab itu, nasi lemak merupakan satu sajian makanan yang ringkas lalu dijadikan makanan pilihan warga kota yang sentiasa dengan kesibukan. Harga yang murah juga mendorong makanan popular ini semakin mudah didapati di mana-mana sahaja. Biasanya harga nasi lemak berada di dalam lingkungan Ringgit Malaysia 1 sehingga 6 sebungkus.

Nasi lemak dikatakan tidak begitu sihat untuk dimakan setiap hari kerana tinggi kalori dan lemaknya oleh pakar pemakanan. Bagi setiap sepinggan sajian nasi lemak, ianya mengandungi sebanyak 400 hingga 600 kalori. Semasa Persidangan Kesihatan Kedua Perak 2007, Timbalan Ketua Pengarah Kesihatan (Kesihatan Awam) Malaysia, Datuk Dr Ramlee Rahmat, telah mengklasifikasikan nasi lemak sebagai satu makanan segera, kerana ia dikategorikan sebagai satu makanan yang berkalori tinggi, dan juga mudah untuk dihidangkan.

Sumber rujukan dan bahan bacaan lanjut: