21 Oktober 2010

Tahlil Arwah

Dalam bahasa arab, tahlil bermaksud menyebut kalimah "syahadah" iaitu "La ilaha illa Allah". Definisi ini dinyatakan oleh Al-Lais dalam kitab "Lisan Al-Arab". Dalam kitab yang sama, Az-Zuhri menyatakan, maksud tahlil adalah meninggikan suara ketika menyebut kalimah syahadah. Adapun makna tahlil mengikut pandangan masyarakat melayu adalah amalan menyebut kalimah syahadah. Ianya di lakukan sebelum berdoa, dan kebiasaannya diamalkan selepas dari kematian atau untuk kesyukuran.

Amalan tahlil arwah dan kesyukuran ini sering didebatkan secara ilmiyyah. Perdebatan ini bukan sekadar berlaku di kalangan umum, bahkan ianya didebatkan di kalangan ilmuan Islam. Tulisan ringkas ini bukanlah untuk membela atau menghentam amalan yang diamalkan di kalangan masyarakat melayu ini. Ianya sekadar ulasan yang menggambarkan perkara perdebatan yang ianya adalah amalan yang masih dibawah ketagori khilafiyyah di kalangan ulama.

Mengikut pendapat Imam Syafie sendiri, kenduri arwah tidak digalakkan. Ini kerana ditakuti salah faham yang akan ditimbulkan oleh mereka yang kurang mantap akidah atau ilmunya. Menurut fatwa Imam Syafie, adalah haram mengadakan kenduri arwah dengan menikmati hidangan di rumah si mati, terutama jika si mati termasuk keluarga yang miskin, menanggung beban hutang, meninggalkan anak-anak yatim yang masih kecil dan waris si mati mempunyai tanggungan perbelanjaan yang besar dan ramai. Tentunya tidak dipertikaikan bahawa makan harta anak-anak yatim hukumnya haram.

Ini bermakna mengadakan kenduri arwah (termasuk bacaan tahlil dan yassin beramai-ramai) pada hari pertama kematian, ketiga, ketujuh, keempat puluh, keseratus, setelah setahun kematian dan pada hari-hari seterusnya sebagaimana yang diamalkan oleh masyarakat Islam sekarang adalah perbuatan haram dan bidaah menurut fatwa Imam Syafie. Oleh itu, mereka yang mendakwa bermazhab Syafie sewajarnya menghentikan perbuatan yang haram dan bidaah ini sebagai mematuhi wasiat imam yang agung ini.

Tetapi di kalangan ashab (kawan dan ulama di kalangan pengikut beliau) ramai yang mengatakan ia sunat, dan sampai pahalanya kepada mayat. Ini kerana hadis yang mengatakan terputus amalan anak Adam setelah meninggal itu, melainkan melalui tiga perkara. Antaranya anak yang soleh yang berdoa untuknya. Jadi kalau tahlil itu dengan permintaan anaknya, bererti amalan dan usahanya sendiri, termasuk dalam firman-Nya yang bermaksud:

Dan bahawasanya seorang manusia tiada memperoleh selain apa yang diusahakannya.
[an-Najmi, ayat ke 39]

Begitu juga amalan orang lain yang diniatkan dan dihadiahkan kepadanya kerana ini bererti amalannya sendiri, sama ada dengan permintaan anaknya sendiri atau pemberian orang lain. Ini semua dikira amalan yang berpunca daripada usaha atau amalan si mati tersebut juga. Firman Allah Ta'ala:

Sesiapa yang mengerjakan suatu kebaikan, Kami tambah pada kebaikan tersebut.
[Asyura, ayat ke 23]

Adapun pahala atau dosa yang berpunca daripadanya seperti anaknya sendiri dan amalan orang lain yang dihadiahkan kepadanya, atau disebabkan oleh anak atau keturunannya itu termasuk dalam amalan usahanya sendiri juga.

Kata ulama, segala pahala amalan anaknya akan sampai kepada bapanya tanpa perlukan niat, malah secara terus. Tetapi amalan keburukan orang lain tidak akan sampai melainkan ia berpunca daripadanya. Sabda Nabi, sesungguhnya bagi seseorang itu apa yang diniatkannya, sebab itu orang lain boleh berdoa atau bersembahyang untuk saudaranya yang sudah meninggal dunia kerana pahalanya akan sampai kepada si mati tersebut.

Firman Allah, dalam surah an-Najmi ayat 38 - 39 itu telah diselaraskan oleh para ulama seperti huraian di atas, bukan seperti yang difahami oleh orang kita yang mengatakan tidak boleh sampai amalan orang lain kepada si mati.

Itu ialah amalan yang tidak ada kaitan atau sebarang sebab langsung daripadanya, tetapi kalau amalan itu ada juga usaha atau sebab daripadanya, pasti pahala amalan itu akan sampai dan dapat diterimanya di akhirat nanti. Jika tidak tentulah sia-sia amalan atau doa kita sebagai umat Islam kepada saudaranya umat Islam yang lain. Malah dalam solat kita diajar supaya memberi salam iaitu meminta keselamatan kepada semua kaum Muslimin hamba Allah yang soleh.

Dalam al-Quran juga Allah mengajar kita supaya berdoa dengan pelbagai doa seperti firman Allah yang bermaksud:

Tuhan kami, ampunilah dosa kami dan bagi saudara kami yang telah mendahului kami dengan keimanan, dan janganlah jadikan dalam hati kami, rasa iri hati atau perasaan dendam kepada mereka yang beriman. 
[al-Hasyr, ayat ke 10]

Tuhan kami kurniakan kami dari kalangan isteri kami dan keturunan kami, mereka yang menjadi penyejuk pandangan, dan jadikanlah kami pemimpin bagi mereka yang bertakwa. 
[al-Furqan, ayat ke 74] 

Sebab itu para ashab Syafie memilih pendapat yang tidak dipilih oleh asy-Syafie sendiri, kerana dalil - dalilnya agak kuat dan jelas, iaitu pahala amalan orang lain boleh sampai dan dapat diterima oleh orang lain yang sudah meninggal sekalipun di akhirat kelak sampai seseorang itu ada yang akan menjadi muflis kerana pahala amalannya akan diberi kepada orang lain.

Adapun bilangan hari itu hanyalah semata-mata untuk memudahkan ingatan dan penjadualan sahaja, bukan kerana hari itu yang disuruh kita beramal untuk mengingati mayat keluarga tetapi disuruh setiap masa. Jangan pula ada orang kita yang sengaja tidak mahu faham, mereka mengatakan amalan baik itu bidaah, kerana ditentukan hari- harinya.

Di sini timbul punca perselisihan kita dengan mereka, malah mereka mengatakan sunat pada hari tersebut. Jika difahami betul-betul (sunat itu kerana hari tersebut) maka merekalah yang mengamalkan bidaah. Adapun bukan kerana hari tertentu sahaja kerana tidak ada sebarang nas atau dalilnya, malah suatu penjadualan amalan kebaikan itu sahaja, manakala amalan itu disunatkan kerana ada nas yang menyuruh melakukannya sama ada al-Quran atau hadis atau kias atau ijmak.

Sedangkan kalau ada jamuan pun, hendaklah diurus dan dibantu oleh orang lain sebagaimana yang disuruh oleh Rasulullah sendiri, bila kematian keluarganya Ja'afar. Bagi mereka yang selalu mempersendakan amalan kebaikan ini, kita kemukakan untuk mereka dua dalil di sini sudah cukup untuk mereka yang berfikir.

Berlumba-lumbalah mengerjakan kebaikan. 
[al-Baqarah, ayat ke 148]

Janganlah engkau menghinakan sebarang perkara makruf (adat kebiasaan tempatan yang baik) suatu apa pun. 
[Hadith Riwayat Muslim] 


Sumber rujukan dan bacaan lanjut:
  1. http://bahan-rujukan.blogspot.com/2006/05/membuat-kenduri-tahlil-arwah.html
  2. http://berandamadina.wordpress.com/2010/01/19/tahlil-arwah-perkara-khilafiah-yang-diperdebatkan/ 
  3. http://www.terjah.com/v3/news.php?readmore=39 

Tags:
© Copyright Nesloais dot com. All rights reserved.
Based on template designed by SpicyTricks