31 Oktober 2010

Kelantan Juara Piala Malaysia 2010





Sejarah tercipta dan dendam terbalas, malah temasya besar berhak dirayakan oleh Kelantan apabila menjulang anugerah berprestij bola sepak negara, Piala Malaysia buat kali pertama setelah menewaskan Negeri Sembilan 2-1 dalam perlawanan akhir edisi ke-44, semalam.

Malah Wira Merah mengakhiri penantian yang sekian lama selepas dihampakan dalam perlawanan akhir 1955, 1970 dan tahun lalu sekali gus mengekori Perak, Selangor, Pulau Pinang, Pahang, Johor, Kuala Lumpur, Kedah, Terengganu, Perlis dan Negeri Sembilan sebagai 11 negeri pemilik Piala Malaysia sejak 1967.

Gegak gempita sorakan serta dentuman mercun melanda Stadium Nasional, Bukit Jalil yang menyambut kejayaan skuad bimbingan B. Sathianathan menebus kehampaan 3-1 kepada lawan dan di gelanggang sama tahun lalu, hasil jaringan Hairuddin Omar dan Badri Radzi.

Sebaliknya Negeri Sembilan terlepas peluang untuk merangkul gelaran berganda musim ini selepas Piala FA, April lalu biarpun mengejutkan lawan dengan sepakan penalti penyerang bidan terjun, Shahurain Abu Samah pada babak pertama.

Malah mereka mampu mendahului lebih awal andainya penyerangnya, Idris Karim lebih kuat menyepak umpanan lambung S. Kunanlan dari sebelah kanan, ketika cuma berdepan Khairul Fahmi Che Mat, yang sempat menyambut tolakannya pada minit keenam.

Dalam satu serangan balas pantas yang dilancarkan Kunanlan minit ke-12, Kelantan tergamam sehingga penjaga golnya, Khairul Fahmi terpaksa membentes sayap kanan Negeri Sembilan dan menghadiahkan sepakan penalti buat juara bertahan.

Biarpun diarahkan pengadil Subkhiddin Salleh supaya mengambil semula sepakan penalti yang berjaya disudahi, Shahurain Abu Samah tetap tenang menolak ke kiri gawang Kelantan untuk mencipta gol pembukaan Si Rusa, seminit kemudian.

Namun, Si Kijang masih tidak mahu mengalah, setelah rembatan jauh Zairul Fitree Ishak tersasar tinggi pada minit ke-11, Badri Radzi pula terlepas menyamakan kedudukan apabila rembatannya sempat disekat bek tengah lawan, Shukor Adan pada minit ke-35.

Enam minit kemudian menyaksikan kehampaan berterusan Idris gara-gara dipersalahkan pengadil ketika cuba menyambut umpanan lambung Ching Hong Aik dengan tandukan walaupun, hanya perlu mengatasi Khairul Fahmi yang sempat mendakap bola.

Tiga minit masa kecederaan turut merakamkan kegagalan percubaan sayap kanan Wira Merah, Nor Farhan Muhammad dalam kotak penalti sementara rembatan jauh ketua pasukan Indra Putra Mahayuddin pula berjaya ditepis penjaga gol Si Rusa, Sani Anuar Kamsani.

Dalam dua minit babak kedua bersambung, Kelantan kian garang memburu gol penyamaan, namun kedua-dua percubaan Badri dan Hairuddin Omar sekadar mencemaskan Sani Anuar tetapi belum dapat menembusi kubu terakhir pasukan bimbingan Wan Jamak Wan Hassan itu.

Gol penyamaan idaman Wira Merah tiba juga pada minit ke-57 hasil umpanan lambung Norshahrul Idlan Talaha dari sebelah kanan yang cukup tepat disudahi dengan tandukan kencang Hairuddin tanpa mampu digapai Sani Anuar lagi.

Bersemangat tinggi dengan gol itu, Kelantan mengasak lagi, lalu Badri menggembirakan dan menghadiahkan majoriti hadirin Stadium Nasional yang membentuk Lautan Merah dengan jaringan kedua minit ke-64 setelah mendapat lorongan Nor Farhan dari belakangnya.

Wira Merah beroleh satu lagi peluang keemasan setelah penyerang gantian, Akmal Rizal Rakhli dikasari Alif Shamsuddin tetapi sepakan bebas Indra Putra menghampakan pasukan dan peminat mereka kerana melewati palang gol pada minit ke-83.

Barisan pemain: 

KELANTAN: Khairul Fahmi Che Mat, Daudsu Jamaludin (Akmal Rizal Rakhli), Farisham Ismail, Rizal Fahmi Rosid, Zairul Fitree Ishak, Nor Farhan Muhammad, Badri Radzi, Shakir Shaari (Khairan Eroza Razali), Indra Putra Mahayuddin, Norshahrul Idlan Talaha (S. Chanturu), Hairuddin Omar.

NEGERI SEMBILAN: Sani Anuar Kamsani, Tengku Qayyum Ubaidillah Tengku Ahmad, Shukor Adan, Aidil Zafuan Radzak (Firdaus Azizul), Ching Hong Aik (Asyraf Al Japri), Alif Shamsuddin, Idris Karim, Halim Zainal, S. Kunanlan, Shahurain Abu Samah, Qhairul Anwar Roslaini (Shaffik Rahman).

Sumber: Utusan Malaysia dan Berita Harian.

28 Oktober 2010

Kelantan ke Perlawanan Akhir Piala Malaysia 2010

Akhirnya sekali lagi pertarungan ulangan tahun lepas antara pasukan bolasepak Kelantan dengan Negeri Sembilan. Negeri Sembilan mara ke final selepas menewaskan Johor FC dengan agregat 2-1 manakala Kelantan mara selepas menyekat pasukan Kedah menerusi agregat 1-0.

Untuk rekod, perlawanan akhir Piala Malaysia edisi 2009 dimenangi oleh Negeri Sembilan dengan jaringan gol 3-1.

Pasukan mana pula yang akan menjuarai Piala Malaysia untuk edisi kali ini? Mana lebih berhak untuk mendapatkan piala keramat itu.. kijang ataupun rusa?



KELANTAN lawan NEGERI SEMBILAN

Stadium Nasional Bukit Jalil

30 Oktober 2010 
8.45 malam


P/s: Harap-harap tiada kerusi terbakar, trak FRU terbakar.. rambut penyokong terbakar.. baju pengadil terbakar.. pendek kata harap-harap dijauhkan daripada berlakunya perkara tidak diingini sepanjang perlawanan bolasepak tersebut.

21 Oktober 2010

Tahlil Arwah

Dalam bahasa arab, tahlil bermaksud menyebut kalimah "syahadah" iaitu "La ilaha illa Allah". Definisi ini dinyatakan oleh Al-Lais dalam kitab "Lisan Al-Arab". Dalam kitab yang sama, Az-Zuhri menyatakan, maksud tahlil adalah meninggikan suara ketika menyebut kalimah syahadah. Adapun makna tahlil mengikut pandangan masyarakat melayu adalah amalan menyebut kalimah syahadah. Ianya di lakukan sebelum berdoa, dan kebiasaannya diamalkan selepas dari kematian atau untuk kesyukuran.

Amalan tahlil arwah dan kesyukuran ini sering didebatkan secara ilmiyyah. Perdebatan ini bukan sekadar berlaku di kalangan umum, bahkan ianya didebatkan di kalangan ilmuan Islam. Tulisan ringkas ini bukanlah untuk membela atau menghentam amalan yang diamalkan di kalangan masyarakat melayu ini. Ianya sekadar ulasan yang menggambarkan perkara perdebatan yang ianya adalah amalan yang masih dibawah ketagori khilafiyyah di kalangan ulama.

Mengikut pendapat Imam Syafie sendiri, kenduri arwah tidak digalakkan. Ini kerana ditakuti salah faham yang akan ditimbulkan oleh mereka yang kurang mantap akidah atau ilmunya. Menurut fatwa Imam Syafie, adalah haram mengadakan kenduri arwah dengan menikmati hidangan di rumah si mati, terutama jika si mati termasuk keluarga yang miskin, menanggung beban hutang, meninggalkan anak-anak yatim yang masih kecil dan waris si mati mempunyai tanggungan perbelanjaan yang besar dan ramai. Tentunya tidak dipertikaikan bahawa makan harta anak-anak yatim hukumnya haram.

Ini bermakna mengadakan kenduri arwah (termasuk bacaan tahlil dan yassin beramai-ramai) pada hari pertama kematian, ketiga, ketujuh, keempat puluh, keseratus, setelah setahun kematian dan pada hari-hari seterusnya sebagaimana yang diamalkan oleh masyarakat Islam sekarang adalah perbuatan haram dan bidaah menurut fatwa Imam Syafie. Oleh itu, mereka yang mendakwa bermazhab Syafie sewajarnya menghentikan perbuatan yang haram dan bidaah ini sebagai mematuhi wasiat imam yang agung ini.

Tetapi di kalangan ashab (kawan dan ulama di kalangan pengikut beliau) ramai yang mengatakan ia sunat, dan sampai pahalanya kepada mayat. Ini kerana hadis yang mengatakan terputus amalan anak Adam setelah meninggal itu, melainkan melalui tiga perkara. Antaranya anak yang soleh yang berdoa untuknya. Jadi kalau tahlil itu dengan permintaan anaknya, bererti amalan dan usahanya sendiri, termasuk dalam firman-Nya yang bermaksud:

Dan bahawasanya seorang manusia tiada memperoleh selain apa yang diusahakannya.
[an-Najmi, ayat ke 39]

Begitu juga amalan orang lain yang diniatkan dan dihadiahkan kepadanya kerana ini bererti amalannya sendiri, sama ada dengan permintaan anaknya sendiri atau pemberian orang lain. Ini semua dikira amalan yang berpunca daripada usaha atau amalan si mati tersebut juga. Firman Allah Ta'ala:

Sesiapa yang mengerjakan suatu kebaikan, Kami tambah pada kebaikan tersebut.
[Asyura, ayat ke 23]

Adapun pahala atau dosa yang berpunca daripadanya seperti anaknya sendiri dan amalan orang lain yang dihadiahkan kepadanya, atau disebabkan oleh anak atau keturunannya itu termasuk dalam amalan usahanya sendiri juga.

Kata ulama, segala pahala amalan anaknya akan sampai kepada bapanya tanpa perlukan niat, malah secara terus. Tetapi amalan keburukan orang lain tidak akan sampai melainkan ia berpunca daripadanya. Sabda Nabi, sesungguhnya bagi seseorang itu apa yang diniatkannya, sebab itu orang lain boleh berdoa atau bersembahyang untuk saudaranya yang sudah meninggal dunia kerana pahalanya akan sampai kepada si mati tersebut.

Firman Allah, dalam surah an-Najmi ayat 38 - 39 itu telah diselaraskan oleh para ulama seperti huraian di atas, bukan seperti yang difahami oleh orang kita yang mengatakan tidak boleh sampai amalan orang lain kepada si mati.

Itu ialah amalan yang tidak ada kaitan atau sebarang sebab langsung daripadanya, tetapi kalau amalan itu ada juga usaha atau sebab daripadanya, pasti pahala amalan itu akan sampai dan dapat diterimanya di akhirat nanti. Jika tidak tentulah sia-sia amalan atau doa kita sebagai umat Islam kepada saudaranya umat Islam yang lain. Malah dalam solat kita diajar supaya memberi salam iaitu meminta keselamatan kepada semua kaum Muslimin hamba Allah yang soleh.

Dalam al-Quran juga Allah mengajar kita supaya berdoa dengan pelbagai doa seperti firman Allah yang bermaksud:

Tuhan kami, ampunilah dosa kami dan bagi saudara kami yang telah mendahului kami dengan keimanan, dan janganlah jadikan dalam hati kami, rasa iri hati atau perasaan dendam kepada mereka yang beriman. 
[al-Hasyr, ayat ke 10]

Tuhan kami kurniakan kami dari kalangan isteri kami dan keturunan kami, mereka yang menjadi penyejuk pandangan, dan jadikanlah kami pemimpin bagi mereka yang bertakwa. 
[al-Furqan, ayat ke 74] 

Sebab itu para ashab Syafie memilih pendapat yang tidak dipilih oleh asy-Syafie sendiri, kerana dalil - dalilnya agak kuat dan jelas, iaitu pahala amalan orang lain boleh sampai dan dapat diterima oleh orang lain yang sudah meninggal sekalipun di akhirat kelak sampai seseorang itu ada yang akan menjadi muflis kerana pahala amalannya akan diberi kepada orang lain.

Adapun bilangan hari itu hanyalah semata-mata untuk memudahkan ingatan dan penjadualan sahaja, bukan kerana hari itu yang disuruh kita beramal untuk mengingati mayat keluarga tetapi disuruh setiap masa. Jangan pula ada orang kita yang sengaja tidak mahu faham, mereka mengatakan amalan baik itu bidaah, kerana ditentukan hari- harinya.

Di sini timbul punca perselisihan kita dengan mereka, malah mereka mengatakan sunat pada hari tersebut. Jika difahami betul-betul (sunat itu kerana hari tersebut) maka merekalah yang mengamalkan bidaah. Adapun bukan kerana hari tertentu sahaja kerana tidak ada sebarang nas atau dalilnya, malah suatu penjadualan amalan kebaikan itu sahaja, manakala amalan itu disunatkan kerana ada nas yang menyuruh melakukannya sama ada al-Quran atau hadis atau kias atau ijmak.

Sedangkan kalau ada jamuan pun, hendaklah diurus dan dibantu oleh orang lain sebagaimana yang disuruh oleh Rasulullah sendiri, bila kematian keluarganya Ja'afar. Bagi mereka yang selalu mempersendakan amalan kebaikan ini, kita kemukakan untuk mereka dua dalil di sini sudah cukup untuk mereka yang berfikir.

Berlumba-lumbalah mengerjakan kebaikan. 
[al-Baqarah, ayat ke 148]

Janganlah engkau menghinakan sebarang perkara makruf (adat kebiasaan tempatan yang baik) suatu apa pun. 
[Hadith Riwayat Muslim] 


Sumber rujukan dan bacaan lanjut:
  1. http://bahan-rujukan.blogspot.com/2006/05/membuat-kenduri-tahlil-arwah.html
  2. http://berandamadina.wordpress.com/2010/01/19/tahlil-arwah-perkara-khilafiah-yang-diperdebatkan/ 
  3. http://www.terjah.com/v3/news.php?readmore=39 

16 Oktober 2010

Intipati Bajet 2011


Bajet 2011 bertema "Transformasi Ke Arah Negara Maju Berpendapatan Tinggi" dengan empat strategi utama iaitu:

1. Mendayakan kembali pelaburan swatsa.
2. Membangunkan modal insan.
3. Mensejahterakan hidup rakyat.
4. Memantapkan penyampaian perkhidmatan awam.

Berikut ialah intipati Bajet 2011 yang dibentangkan oleh Perdana Menteri yang juga Menteri Kewangan, Datuk Seri Najib Razak di Dewan Rakyat, hari ini:

* RM212 bilion diperuntukkan bagi Bajet 2011 iaitu 2.8 peratus lebih tinggi berbanding peruntukan 2010.

* Daripada jumlah itu, RM162.8 bilion adalah bagi perbelanjaan mengurus dan RM49.2 bagi perbelanjaan pembangunan.

* Di bawah peruntukan mengurus, RM45.6 bilion adalah bagi emolumen dan RM28.2 bilion bagi perkhidmatan dan bekalan, RM86.4 billion diperuntukkan kepada Pemberian dan Kenakan Bayaran Tetap.

* Sejumlah RM1.4 bilion disediakan untuk pembelian aset dan RM1.2 bilion untuk perbelanjaan lain.

* Pembinaan projek pembangunan bercampur termasuk kediaman mampu milik bernilai RM10 bilion di Sungai Buloh yang dijangka siap pada 2025.

* Pembinaan projek bersepadu "Warisan Merdeka" dengan menara 100 tingkat tertinggi di Malaysia bernilai RM5 bilion yang dijangka siap pada 2015.

* Pembangunan Zon Akuakultur Bersepadu di Pitas, Sungai Telaga dan Sungai Padas di Sabah serta di Batang Ai dan Tanjung Manis di Sarawak dengan peruntukan RM252 juta.

* Peruntukan RM135 juta bagi persediaan prasarana asas menggalakkan petani menceburi bidang bernilai tinggi seperti industri sarang burung walit.

* Melanjutkan galakan potongan cukai pendapatan bagi pelabur dan pengecualian cukai pendapatan bagi syarikat dalam aktiviti pengeluaran bahan makanan sehingga 2015.

* RM85 juta untuk membina kemudahan infrastruktur bagi membolehkan hotel dan pusat peranginan di kawasan pedalaman yang berpotensi menarik pelancong.

* RM50 juta bagi membina beberapa laluan pejalan kaki berbumbung di kawasan lingkaran KLCC-Bukit Bintang.

* Pembangunan pusat peranginan bersepadu eco-nature pertama di dunia bernilai RM3 bilion oleh Nexus Karambunai di Sabah bermula tahun depan.

* Pemansuhan duti import ke atas 300 barangan kegemaran pelancong dan rakyat tempatan pada kadar lima peratus sehingga 30 peratus bagi menjadikan Malaysia destinasi utama membeli-belah di Asia.

* RM119 juta untuk membangunkan penciptaan kandungan tempatan, hosting kandungan tempatan dan pembukaan saluran baru untuk kandungan.

* Pengecualian cukai jualan ke atas semua jenis telefon bimbit.

* RM850 juta bagi menyediakan infrastruktur sokongan untuk mempercepatkan pembangunan koridor dan wilayah.

* RM411 juta untuk melonjak ekonomi ke arah sebuah negara berpendapatan tinggi, aktiviti penyelidikan, pembangunan dan pengkomersilan sebagai landasan peningkatan aktiviti nilai ditambah dalam setiap bidang ekonomi.

* Penubuhan Unit Inovasi Khas (UNIK) di bawah Jabatan Perdana Menteri dengan peruntukan RM71 juta bagi tahun depan untuk mengkomersilkan hasil penemuan R&D oleh universiti dan institusi penyelidikan.

* RM200 juta untuk perolehan hasil kreatif seperti filem, drama dan dokumentari keluaran tempatan yang berkualiti tinggi.

* Kadar cukai perkhidmatan dicadang dinaikkan satu peratus kepada enam peratus untuk menjamin kesejahteraan masa hadapan negara.

* Cukai perkhidmatan juga dicadang dikenakan ke atas perkhidmatan penyiaran TV berbayar.

* Meningkatkan penguatkuasaan dan pengauditan serta memperluaskan liputan ke atas semua pihak yang sepatutnya membayar cukai bagi memantapkan kutipan hasil.

* Menyusun semula dan memperkukuhkan aspek pendidikan dan latihan dengan belanja mengurus RM29.3 bilion untuk Kementerian Pelajaran, RM10.2 bilion (Kementerian Pengajian Tinggi) dan RM627 juta (Kementerian Sumber Manusia).

* Menubuhkan "Talent Corporation" di bawah Jabatan Perdana Menteri pada awal 2011 untuk membangunkan pangkalan data tenaga kerja berkepakaran serta menjalin kerjasama dengan jaringan bakat di seluruh dunia.

* Bagi peruntukan pembangunan, RM28.3 bilion disediakan bagi sektor ekonomi untuk menampung keperluan infrastruktur, perindustrian serta pertanian dan pembangunan luar bandar.

* Sejumlah RM15.5 bilion diperuntukkan bagi sektor sosial termasuk pendidikan dan latihan, kesihatan, kebajikan, perumahan serta pembangunan masyarakat.

* RM4.4 bilion diperuntukkan bagi pembangunan sektor keselamatan, RM955 juta bagi pentadbiran am dan RM2 bilion untuk simpanan luar jangka.

* Dari segi kutipan hasil Kerajaan Persekutuan bagi 2011, jumlahnya dianggarkan meningkat 2.3 peratus kepada RM165.8 bilion berbanding RM162.1 bilion pada 2010.

* Defisit Kerajaan Persekutuan bagi 2011 dijangka terus berkurangan kepada 5.4 peratus daripada KDNK berbanding 5.6 peratus pada 2010.

* Untuk Kementerian Pelajaran, peruntukan pembangunan sebanyak RM6.4 billion disediakan bagi membina dan menaik taraf sekolah, asrama, kemudahan dan peralatan serta memartabatkan profesion guru.

* RM213 juta lagi dibajet sebagai ganjaran kepada sekolah berprestasi tinggi serta imbuhan kepada Pengetua atau Guru Besar dan Guru Cemerlang.

* Pendaftaran prasekolah akan ditingkatkan dengan sasaran 72 peratus menjelang akhir 2011 melalui penambahan 1,700 kelas, pemantapan kurikulum serta pelantikan 800 guru prasekolah lepasan ijazah.

* RM111 juta diperuntukkan bagi program PERMATA antaranya bagi pembinaan fasa 2 Kompleks Sekolah PERMATA Pintar, membina 32 Pusat Anak PERMATA Negara (PAPN) dan membiayai operasi 52 PAPN yang sudah siap.

* RM250 juta diperuntukkan bagi sekolah bantuan modal agama, sekolah bantuan modal jenis kebangsaan Cina, sekolah kebangsaan Tamil, sekolah bantuan modal mubaligh dan sekolah bantuan kerajaan seluruh negara.

* Kerajaan juga bersetuju membiayai bantuan per kapita untuk sekolah-sekolah agama rakyat rendah dan menengah dengan peruntukan RM95 juta sebagai mengiktiraf pendidikan Islam.

* Bagi menyediakan guru serta tenaga pengajar kompeten dan berkualiti yang dapat membimbing dan mendidik pelajar sekolah dengan sebaiknya, kerajaan menyediakan RM576 juta dalam bentuk biasiswa kepada mereka yang ingin melanjutkan pelajaran.

* Sejumlah RM213 juta diperuntukkan bagi mengangkat tinggi penguasaan Bahasa Malaysia, mempersadakan Bahasa Inggeris dan memperkemaskan kurikulum standard sekolah rendah.

* Kerajaan bersetuju untuk mengambil 375 guru penutur jati antaranya daripada United Kingdom dan Australia untuk meningkatkan lagi pengajaran Bahasa Inggeris.

* Peratusan staf akademik berkelulusan PhD ditambah kepada 75 peratus bagi universiti penyelidikan dan 60 peratus bagi IPTA lain dengan peruntukan RM20 juta.

* Skim Rumah Pertamaku dengan jaminan kerajaan ke atas bayaran pendahuluan 10 peratus bagi harga rumah di bawah RM220,000.

* Menyediakan Skim Pembiayaan Perumahan Kos Rendah untuk pekerja estet oleh BSN.

* Program Bantuan Rumah (12,000 unit) untuk golongan miskin dan miskin tegar dengan peruntukan RM300 juta.

* Mewujudkan "Portal 1Malaysia Pengguna Bijak".

* Memperkenalkan Program Pengedaran Barang Perlu bagi menyeragamkan harga barangan.

* Memperkenalkan Program Transformasi Kedai Runcit, Bengkel Automotif dan Projek Pasar Komuniti.

* Melancarkan Dana Pencen Swasta.

* Melancarkan Skim Amanah Hartanah Bumiputera bernilai RM1 bilion dan patuh syariat.

* Menyediakan multivitamin untuk pelajar sekolah rendah seluruh negara.

* Meneruskan program subsidi bayaran bil elektrik bagi penggunaan bawah RM20 sebulan.

* Kadar tol di empat lebuh raya milik PLUS Expressway Bhd tidak akan dinaikkan bagi tempoh lima tahun akan datang bermula serta-merta.

* Mengkaji semula had minimum kebankrapan yang pada masa ini berjumlah RM30,000.

* Permohonan PR boleh dilakukan selepas lima tahun.

* Menyediakan empat bas sebagai Klinik Bergerak.

* Merangka Model Baru Pembangunan Orang Asli dan Pribumi.

* Memperkukuh JHEOA dengan mentransformasi kepada Jabatan Kemajuan Orang Asli.

Sumber: Malaysiakini & Berita Harian 

15 Oktober 2010

Peruntukan RM6.5j Untuk Baik Pulih Flat Taman Seri Sentosa

Datuk Seri Najib Tun Razak hari ini (10 Oktober 2010) mengumumkan peruntukan khas berjumlah RM6.5 juta untuk kerja-kerja membaik pulih 59 blok flat di tiga kawasan sekitar Parlimen Lembah Pantai di ibu kota.

Perdana Menteri berkata, jumlah itu adalah bagi kerja mengecat 59 buah blok di Taman Seri Sentosa, Taman Sri Pinang dan Taman Ria AC4 di Jalan Klang Lama serta usaha menggantikan empat buah lif dan membaiki lif-lif lain di penempatan tersebut.

Jelas Najib, kesemua usaha baik pulih itu akan dipantau oleh Unit Penyelarasan Pelaksanaan (ICU) Jabatan Perdana Menteri yang bertanggungjawab menyerahkan laporan kemajuan projek tersebut terus kepada beliau dua kali sebulan sepanjang pelaksanaan projek tersebut.

Katanya, usaha baik itu perlu dilaksanakan demi kesejahteraan dan keselesaan penduduk pelbagai kaum yang telah tinggal di situ sejak lebih 20 tahun lalu.

"Saya mendengar keluhan dan rintihan masyarakat di Taman Seri Sentosa, Taman Seri Pinang dan Taman Ria, yang di mana kawasan ini adalah kawasan pemindahan banjir. Alhamdulillah, kawasan ini tidak lagi dilanda banjir.

"Jadi, saya harap kawasan ini akan kekal sebagai satu model (penempatan) komuniti 1Malaysia yang boleh kita banggakan," katanya ketika berucap pada Majlis Rumah Terbuka Aidilfitri anjuran Barisan Nasional (BN) Lembah Pantai di sini.

Lebih 22,000 penduduk kawasan sekitar hadir ke majlis rumah terbuka yang berlangsung dari 10 pagi hingga 4 petang tersebut.

Hadir sama, Menteri Wilayah Persekutuan dan Kesejahteraan Bandar, Datuk Raja Nong Chik Raja Zainal Abidin merangkap Pengerusi BN Lembah Pantai serta beberapa pemimpin komponen BN Pusat dan dari kawasan berkenaan.

Sementara itu, Raja Nong Chik dalam ucapannya memberitahu, beliau telah banyak menerima aduan daripada penduduk di situ mengenai keadaan blok perumahan mereka yang kelihatan usang akibat tidak pernah dicat semula selepas dibina lebih 20 tahun lalu.

Pada majlis tersebut, Najib turut mengadakan kunjungan mesra ke atas tiga keluarga penduduk di situ serta menyampaikan sumbangan wang tunai dan barangan keperluan harian kepada mereka.

Selepas Perdana Menteri beredar untuk jadual beliau seterusnya, Raja Nong Chik kemudiannya menyampaikan sumbangan kepada 60 penduduk Lembah Pantai yang akan menunaikan ibadat haji musim ini.

Selain sumbangan dalam bentuk peralatan mengerjakan haji dan wang tunai, para penerima berkenaan turut didaftarkan secara automatik sebagai penerima Skim Prihatin 1Wilayah Persekutuan.

Skim yang boleh disertai oleh warga ibu kota dengan bayaran minimum RM5 itu membolehkan peserta mendapatkan RM2,500 dalam bentuk khairat kematian.

Sumber: Utusan Malaysia

P/s: Jalanraya di sekitar situ pun dah diturap baru beberapa hari sebelum kedatangan PM..

14 Oktober 2010

Legasi Kesultanan Melayu Kelantan

 

Tuanku Muhammad Faris Petra selamat dimasyhurkan sebagai Sultan Kelantan ke-29 pada 13 September lalu dan kini bergelar Sultan Muhammad ke-V. Pemilihan putera berusia 41 tahun yang juga anakanda sulung, Tuanku Ismail Petra dan Tengku Anis Tengku Abdul Hamid, juga mengakhiri kemelut menyelubungi Istana Kelantan, sejak ayahandanya gering mulai Mei tahun lalu.

Majlis Perajaan Negeri (MPN) Kelantan yang bersidang sebulat suara memilih, mengesahkan Tuanku Muhammad Faris Petra sebagai raja memerintah dan menaiki takhta kerajaan Kelantan.

Lima belas ahli MPN Kelantan yang bersidang itu sebulat suara bersetuju Tuanku Ismail Petra memerlukan pengganti berikutan gering baginda berlarutan sejak lebih setahun lalu.

Perkembangan yang berlaku di Kelantan dalam suasana Aidilfitri tahun ini, bukan setakat menarik minat semua lapisan rakyat yang menunggu saat pemasyhuran Sultan Muhammad ke-V, malah mengimbas kembali salasilah keluarga Diraja Kelantan serta sejarah kesultanan negeri ini.

Salasilah keluarga Sultan Muhammad ke-V bermula dari keturunan Long Yunus Long Sulaiman, Sultan yang memerintah Kelantan antara 1765-1795.

Tuanku Ismail Petra iaitu ayahanda Sultan Muhammad ke-V, yang juga putera tunggal kepada Sultan Yahya Petra Ibni Almarhum Sultan Ibrahim dan Raja Perempuan Tengku Zainab II, ditabalkan sebagai Sultan Kelantan pada 30 Mac 1979, susulan kemangkatan ayahandanya ketika menjadi Yang Di-Pertuan Agong pada 29 Mac 1979.

Tuanku Ismail Petra diputerakan pada 11 November 1949 di Istana Jahar, Kota Bharu, adalah anak lelaki tunggal dan adik bongsu lima beradik iaitu Tengku Marjan, Tengku Rozan, Tengku Salwani dan Tengku Rohani.

Hasil perkahwinan baginda dengan Tengku Anis, yang mempunyai hubungan kekeluargaan tahap dua sepupu, baginda berdua dikurniakan tiga putera iaitu Tuanku Muhammad Faris Petra (Sultan Muhammad ke-V), Tengku Muhammad Faiz Petra, Tengku Muhammad Fakry serta puteri, Tengku Amalin A'Ishah Putri.

Sultan Muhammad ke-V dilantik ayahanda baginda sebagai Tengku Mahkota Kelantan, pewaris takhta kerajaan pada 6 Oktober 1985, sebelum diangkat sebagai Pemangku Raja Kelantan pada 24 Mei 2009 berikutan keadaan Tuanku Ismail Petra yang gering.

Kemakmuran dan keindahan negeri menjadikan Kelantan turut dikenali dengan nama Tanah Serendah Sekebun Bunga dan Tanjung Pura. Kewujudan banyak pondok kendalian ulama termasuk Tok Kenali dan Tok Selehor, yang menjadi tumpuan umat Islam mendalami ilmu agama membuatkan Kelantan menerima jolokan negeri Serambi Makkah.

Berdasarkan buku Keluarga Diraja Kelantan Darul Naim tulisan Mohd Zain Saleh, Kesultanan Kelantan dalam lipatan sejarahnya dikaitkan dengan kisah pemerintahan Cik Siti Wan Kembang yang pernah ditabal sebagai raja yang bersemayam di Gunung Chinta Wangsa, Ulu Kelantan.

Pemerintahan Cik Siti Wan Kembang yang dipercayai tidak pernah berkahwin itu dikatakan terkenal sehingga menjadi tumpuan pedagang dalam dan luar negeri termasuk dari Arab.

Wanita pertama menjadi Raja Kelantan itu juga dikatakan memiliki seekor kijang sebagai binatang peliharaan kesayangannya sehingga gambar binatang itu diterap di atas wang emas perbelanjaan negeri dan diabadikan sebagai sebahagian daripada lambang kebesaran negeri hingga kini.

Ketika pemerintahan Cik Siti Wan Kembang, ada sebuah kerajaan berpusat di Jembal yang diperintah oleh Raja Sakti (1638M atau 1046H). Selepas baginda mangkat, puteranya, Raja Loyor ditabal sebagai raja pada 1649M atau 1059H dan mempunyai dua anak termasuk Puteri Saadong.

Kerajaan Cik Siti Wan Kembang bersahabat baik dengan Raja Loyor, terutama selepas wanita pertama memerintah di Kelantan mengambil anak Raja Loyor, Puteri Saadong sebagai anak angkat untuk dijadikan pewaris takhta baginda.

Puteri Saadong dikatakan pernah menjadi tawanan Raja Siam, sebelum terpaksa membebaskan baginda selepas puteri berkenaan mengubati penyakit dihidapi raja itu.

Selain kisah Cik Siti Wan Kembang dan Puteri Saadong yang masih dianggap sebagai mitos sesetengah pihak, Kelantan juga pernah menyaksikan beberapa episod perebutan takhta untuk menguasai pemerintahan negeri ini.

Berdasarkan, buku Keluarga Diraja Kelantan Darul Naim, antara perebutan takhta yang pernah berlaku dalam sejarah negeri ini membabitkan Long Muhamad yang juga Sultan Muhamad I dengan iparnya iaitu Tengku Muhamad.

Kemelut tercetus ketika itu apabila Long Yunus mangkat tanpa menamakan penggantinya, walaupun mempunyai ramai pewaris. Keadaan diburukkan apabila tiada kesepakatan dicapai membabitkan tujuh putera Almarhum Long Yunus untuk melantik seorang daripada mereka sebagai raja.

Berikutan itu, menantu Almarhum Long Yunus, Tengku Muhamad yang juga putera Yang Di-Pertuan Terengganu, Sultan Mansur, dilantik sebagai Pemangku Sultan selama 100 hari bagi membolehkan jenazah Long Yunus dimakamkan sekali gus membolehkan pemerintahan negeri berjalan seperti biasa.

Bagaimanapun, selepas tempoh 100 hari tamat, Tengku Muhamad enggan menyerahkan takhta menyebabkan timbul perbalahan perebutan kuasa membabitkan dirinya dengan Long Muhamad.

Pertembungan antara mereka bagaimanapun menyebelahi Long Muhamad, sekali gus membolehkan baginda menaiki takhta kerajaan mulai 1800 dengan gelaran Sultan Muhamad I.

INFO : Sultan Kelantan ke-29, Sultan Muhammad ke-V
  • Diputerakan pada 6 Oktober 1969 di Kota Bharu, Kelantan.
  • Anak sulung daripada empat beradik.
  • Dimahkotakan sebagai Tengku Mahkota Kelantan pada 6 Oktober 1985
  • Dilantik sebagai Pemangku Raja Kelantan pada 24 Mei 2009

Pendidikan
  • Pra-sekolah - Tadika Fatima Convent, Kota Bharu 1974 - 1975.
  • Sekolah Rendah Sultan Ismail 1, Kota Bharu, Kelantan 1976- 1981.
  • Kelas Persediaan - The Alice Smith School,
  • A-Level - Oakham School Rutland, England 1983-1989
  • Pengajian Diplomatik - St. Cross College dan Oxford Centre for Islamic Studies 1989-91.
  • Pengajian Hubungan Diplomatik dan Pentadbiran Perniagaan - Huron University College, London
  • Pengajian Perhubungan Diplomatik - Deutsche Stiftung Internationale Entwicklung, Berlin.
  • European Business Administration - European Business School London.

Hobi
  • Membaca
  • Ekspedisi pacuan 4 roda
  • Golf
  • Kuda Lasak
  • Menembak
  • Memanah
  • Badminton
  • Bolasepak
  • Bowling.

Aktiviti sosial dan agama
  • Ziarah anak yatim, rakyat miskin dan ditimpa bencana
  • Ziarah masjid dan solat sunat terawih di seluruh negeri sepanjang Ramadan
  • Dampingi alim ulama

Ketenteraan
  • Brig-Jeneral (Kehormat) Komander 506 Askar Wataniah.


Sumber dan bahan bacaan lanjut:

09 Oktober 2010

UPSR kekal, PMR Dimansuh Mulai 2016

Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin mengumumkan bahawa peperiksaan Penilaian Menengah Rendah (PMR) akan dimansuhkan di semua sekolah mulai 2016 dan dibuat melalui penilaian berasaskan sekolah. 

Beliau yang juga Menteri Pelajaran berkata, Ujian Pencapaian Sekolah Rendah (UPSR) bagi murid Tahun Enam pula akan dikekalkan tetapi dengan diberikan perubahan pada bentuk dan format.

"Antara perubahan yang dicadang dalam proses penambahbaikan UPSR, termasuk mengambil kira bidang utama saja dengan 60 peratus penggredan berasaskan akademik terpilih dan baki 40 peratus berteraskan kokurikulum atau sivik. " 

"Bagi UPSR, walaupun kemungkinan besar UPSR dikekalkan, bentuk dan formatnya agak berbeza dengan penambahbaikan yang kita akan lakukan. "

"Mengenai PMR, meja bulat bersetuju dengan cadangan mengubah bentuk (pelaksanaannya) kepada penilaian berasaskan sekolah. Tapi, Lembaga Peperiksaan perlu menyelaras ujian itu supaya tidak dilihat berat sebelah. " 

Muhyiddin berkata, beliau akan membentangkan kepada Kabinet mengenai hasil rundingan meja bulat ketiga itu yang menerima cadangan penambahbaikan dan perubahan dalam UPSR dan PMR yang disyorkan kementeriannya. 

Sumber: Utusan Malaysia & Berita Harian

P/s: Nak cari balik sijil PMR untuk dibuat kenangan..