24 Ogos 2010

Solat Tarawih

Solat tarawih adalah antara amalan-amalan yang begitu dituntut (sunat muakkad) dalam bulan Ramadhan. Ia boleh dilakukan secara bersendirian di rumah mahupun berjemaah di masjid atau di surau. Waktu solat tersebut bermula selepas fardhu Isyak sehingga sebelum terbit fajar.

Kalimah "tarawih" ialah kata jama' dari perkataan "tarwihah" yang bermakna berhenti rehat, kerana orang-orang yang mengerjakan sembahyang tarawih akan berhenti sebentar pada tiap-tiap kali mereka selesai mengerjakan empat rakaat dengan dua salam.

Asal permulaan solat tarawih diterangkan dalam hadith yang berikut:

"Sesungguhnya Rasulullah s.a.w keluar pada suatu pertengahan malam. Baginda solat di masjid (Masjid Nabi). Beberapa orang mengikut solat baginda. Paginya orang ramai pun bercerita mengenainya. Maka berkumpul lebih ramai lagi (pada malam kedua), baginda pun solat, mereka solat bersama baginda. Paginya orang ramai pun bercerita. Maka bertambah ramai ahli masjid pada malam ketiga. Rasulullah s.a.w keluar bersolat, mereka solat bersama baginda. Apabila malam keempat, masjid menjadi tidak muat dengan orang yang hadir. (Baginda tidak keluar) sehinggalah baginda keluar pada solat subuh. Selesai solat subuh, baginda mengadap orang ramai, baginda bersyahadah, dan bersabda amma ba’d, sesungguhnya bukan aku tidak tahu penantian kamu, tetapi aku bimbang difardukan ke atas kamu lalu kamu tidak mampu. Sehinggalah Rasulullah s.a.w wafat dalam keadaan begitu (tiada jamaah tarawih di masjid)."
[Hadith Riwayat Bukhari dan Muslim]

Semenjak itu sembahyang tarawih tidak dikerjakan dengan berjamaah di masjid tetapi masing-masing mengerjakannya dengan bersendirian, sama ada di rumah atau di masjid.

Keadaan ini berjalan terus sehinggalah dalam zaman Saiyidina Umar r.a., baharulah sembahyang tarawih itu dikerjakan dengan berjamaah di masjid menurut seorang imam yang telah dilantik oleh Saiyidina Umar sendiri seperti yang diterangkan dalam hadith yang berikut:

Dari Abdul Rahman bin Abd al-Qari, katanya: Pada suatu malam dalam bulan Ramadhan, saya mengiringi Umar bin al-Khattab ke masjid, tiba-tiba kami dapati orang ramai di situ berpecah-pecah kepada beberapa kumpulan yang berasingan, ada orang yang sembahyang seorang diri, ada pula yang sembahyang lalu diikuti oleh beberapa orang. Melihatkan yang demikian Saiyidina Umar berkata: "Aku fikir, kalau aku kumpulkan mereka ini semuanya berimamkan seorang imam, tentulah amalan itu amatlah baiknya." Kemudian ia mengambil keputusan lalu mengumpulkan mereka semuanya berimamkan Ubai bin Kaab. Setelah itu, saya mengiringi Saiyidina Umar pada suatu malam yang lain pergi ke masjid, pada ketika itu orang ramai sedang sembahyang berimamkan imam mereka. Melihatkan yang demikian Saiyidina Umar berkata: "Amalan ini satu perbuatan bid'ah yang baik ..."
[Hadith Riwayat Bukhari]

Cara mengerjakan solat tarawih adalah dengan dua rakaat satu salam sehingga genap 8 rakaat. Walaubagaimanapun ada juga yang melaksanakan sebanyak 20 rakaat. Banyak keterangan yang berlainan mengenai bilangan rakaat sembahyang tarawih. Antara hadith yang menjelaskannya ialah:

Daripada Aishah r.aha: "Rasulullah s.a.w tidak pernah melebihi sebelas rakaat samada dalam bulan Ramadan ataupun selainnya".
[Riwayat al-Bukhari dan Muslim]

Kata al-Saib bin Yazid: "Umar telah memerintahkan Ubai bin Ka’ab dan Tamim al-Dari untuk menjadi imam kepada orang ramai sebanyak sebelas rakaat."
[Hadith Riwayat Malik]

Dari Al-Sa'ib bin Yazid r.a,: "Mereka (sahabat-sahabat Nabi) biasanya mengerjakan sembahyang tarawih dalam bulan Ramadhan pada zaman Saiyidina Umar bin al-Khattab, sebanyak dua puluh rakaat ..."
[Hadith Riwayat Baihaqi]

Yazid bin Rauman berkata, "Pada zaman Umar Al-Khattab r.a. orang ramai mengerjakan solat tarawih sebanyak 23 rakaat (20 rakaat tarawih dan 3 rakaat witir). "
[Hadis Riwayat Imam Malik dan Baihaqi]


Sumber rujukan dan bahan bacaan lanjut:

11 Ogos 2010

Khasiat Buah Kurma


Kurma adalah sejenis tumbuhan (Palma) atau dikenali dalam bahasa saintifiknya sebagai Phonex Dactylifera yang berbuah dan boleh dimakan sama ada yang masak atau yang mentah. Kebanyakan pokok kurma tumbuh di negara-negara Arab dan mempunyai berbagai-bagai jenis. Antara kurma yang terkenal ialah kurma Mekkah dan Madinah yang dikatakan mempunyai berpuluh-puluh jenis. Di kalangan penduduk di negara-negara Arab kurma adalah makanan utama mereka, malah dikalangan orang kita juga kurma sudah menjadi bahan makanan yang digemari. Selain rasanya yang manis dan tahan lama serta tidak perlu dimasak, kurma juga mempunyai khasiat yang banyak dan menjadi makanan utama Baginda Rasulullah S.A.W.

Diriwayatkan daripada Abdullah bin Jaafar katanya: "Aku melihat Rasulullah S.A.W memakan buah-buahan dengan kurma masak."

Rasulullah S.A.W telah menyebutkan tentang khasiat sejenis kurma yang diriwayatkan oleh Imam Bukhari yang bermaksud: "Diceritakan oleh Jumaah bin Abdullah yang disampaikan oleh Marwan yang mendapat berita daripada Ibnu Hashim bahawa Amir bin Saad mendengar bapanya meriwayatkan Rasulullah S.A.W bersabda, sesiapa yang memakan 7 biji tamar ‘Ajwah’ dia akan terkawal daripada kejutan syaitan dan sihir pada hari itu."

Khasiat kurma 'Ajwah' sebagaimana yang tersebut di dalam hadis di atas merupakan satu kelebihan yang dikurniakan Allah S.W.T sesuai dengan kemuliannya sebagai jenis kurma pertama yang ditanam sendiri oleh Rasulullah S.A.W.

Terdapat juga di dalam al-Qur’an ayat yang menyatakan tentang kelebihan buah kurma ini, yang dialami oleh Sayydatuna Maryam ketika beliau mengandung Nabi Isa ‘Alaihi Salam sebagaimana tersebut di dalam surah Maryam ayat 25: "Dan gocangkan batang kurma itu kepadanya, nanti ia gugurkan atasmu kurma yang masak."

Ayat di atas menjelaskan tentang khasiat buah kurma kepada kaum wanita yang sedang dalam nifas, bila mana Allah memerintahkan Maryam memakannya sedang beliau dalam keadaan lemah selepas bersalin. Penemuan kajian sains tentang khasiat buah kurma yang kaya dengan unzur zat besi dan kalsium telah membuktikan bahawa perubatan cara Islam yang terkandung di dalam al-Qur’an dan hadis Rasulullah S.A.W bukanlah jenis perubatan yang semata-mata sesuai dengan keadaan iklim masyarakat Arab sahaja atau sudah ketinggalan zaman, tetapi ia adalah perubatan yang diiktiraf oleh dunia antarabangsa. Malah ia lebih baik daripada ubat-ubatan moden yang menggunakan berbagai campuran dadah yang boleh mengakibatkan kesan sampingan yang lain.

Unsur zat besi dan kalsium yang terdapat di dalam buah kurma adalah unsur yang paling tinggi bagi membentuk susu ibu. Bagi Ibu-ibu yang mempunyai masalah kekurangan susu, maka dengan memakannya dapat menggalakkan pertambahan kandungan susu. Ianya juga berperanan dalam pertumbuhan kanak-kanak damit dan pembentukan darah dan sumsum tulang. Antara kajian lain yang dijalankan membuktikan bahawa kurma antara makanan yang paling pantas diproses sebagai bekalan tenaga. Kurma tersebut akan segera dibakar dan ia akan disalurkan ke bahagian anggota lain dan otak.

Berdasarkan ini juga Baginda Rasulullah S.A.W menganjurkan kita supaya berbuka puasa dengan buah kurma sebagaimana sabdanya daripada Anas bermaksud: "Rasulullah S.A.W berbuka puasa dengan beberapa biji buah kurma sebelum sembahyang. Sekiranya tiada terdapat kurma, maka Baginda Rasulullah S.A.W akan berbuka dengan beberapa biji anggur. Sekiranya tiada anggur, maka Baginda meminum beberapa teguk air." (Hadis Riwayat Ahmad)

Sehubungan dengan hadis ini ada beberapa hadis lain yang menganjurkan agar kita berbuka puasa dengan kurma. Sebagaimana hadis yang diriwayatkan oleh Anas bin Malik, beliau berkata: "Rasulullah S.A.W berbuka dengan kurma dan barangsiapa yang tidak mendapatkannya maka hendaklah ia berbuka dengan air kerana sesungguhnya air itu pembersih."

Antara hadis lain yang menyatakan kelebihan buah kurma adalah daripada Adiy bin Hatim, beliau berkata: "Saya mendengar Rasulullah S.A.W bersabda, hindarilah api neraka walaupun (dengan memberi sedekah) sebelah buah kurma." Hadis ini menerangkan kemuliaan buah kurma, iaitu walaupun dengan hanya kita bersedekah sebelah buah kurma kita terhindar daripada api neraka.

Jadi bagi orang-orang yang mementingkan kesihatan mereka agar sentiasa dapat dijaga dengan baik, buah kurma adalah amat sesuai dijadikan sebagai salah satu makanan harian mereka khususnya di waktu pagi sebelum memulakan sebarang tugas harian. Khasiat kurma juga adalah sesuai dan baik bagi pertumbuhan kanak-kanak.

Mudah-mudahan dengan amalan memakan kurma yang berterusan, kita terhindar daripada berbagai kemungkinan dan dapat meneruskan tugas harian serta beribadat kepada Allah S.W.T.