06 April 2010

TM umum bonus 1.7 bulan

Telekom Malaysia Berhad (TM) mengumumkan pemberian bonus 1.7 bulan gaji tahun ini berbanding sebulan setengah pada tahun lalu.
Ketua Pegawai Eksekutifnya, Datuk Zamzamzairani Mohd. Isa berkata, bonus itu akan dibayar pada bulan ini melibatkan 16,240 kakitangan bukan eksekutif.
''Pemberian bonus ini adalah bukti syarikat komited dengan prinsip mengutamakan kakitangan yang banyak menyumbang terhadap peningkatan prestasi syarikat.
"Walaupun keadaan ekonomi negara belum pulih sepenuhnya, berkat komitmen kakitangan, TM berjaya meningkatkan prestasi sekali gus mampu memberikan bonus yang lebih tinggi kepada kakitangannya," katanya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas menandatangani Perjanjian Bersama (CA) antara TM dan Kesatuan Pekerja-Pekerja Telekom Malaysia Berhad Sabah (Sute) di sini hari ini.
Majlis itu disaksikan Menteri Pembangunan Sumber dan Kemajuan Teknologi Maklumat negeri, Datuk Dr. Yee Moh Chai.
Mengenai CA terbaru, beliau berkata, TM bersetuju membuat pelarasan gaji sebanyak 5.5 peratus kepada kakitangan bukan eksekutif dengan kenaikan satu mata gaji.
"TM juga bersetuju menaikkan elaun perumahan sebanyak 33 peratus iaitu daripada RM100 sebelum ini kepada RM120.
"Pada masa yang sama, kakitangan bukan eksekutif TM di Sabah turut menikmati kenaikan elaun sara hidup (Cola) sebanyak 25 peratus atau tambahan RM20 daripada kadar asal.
"Syarikat turut bersetuju memberi tambahan manfaat perubatan yang membolehkan kakitangan bukan eksekutif TM di Sabah menikmati pakej perubatan di hospital swasta," katanya.
Tambahnya, berdasarkan sebahagian artikel yang dipersetujui antara TM dan Kesatuan Kebangsaan Pekerja-Pekerja Telekomunikasi Semenanjung Malaysia (Nute), kakitangan bukan eksekutif di Sabah yang telah berkhidmat lebih 10 tahun akan menikmati tambahan cuti tahunan sebanyak dua hari.

Sumber: Utusan Malaysia

P/s: Alhamdulillah syukur kerana masih ada bonus...

0 comments:

Catat Ulasan