10 Januari 2010

Kanser Pundi Kencing

Kanser Secara Umum

Kanser (atau barah) merupakan penyakit pada sel-sel tubuh. Ia bermula di dalam gen-gen kita. Tubuh kita sentiasa menghasilkan sel-sel baru untuk membolehkan kita membesar, menggantikan tisu-tisu yang lama, atau untuk memulihkan sel-sel rosak selepas luka.

Beberapa gen tertentu mengawal proses ini. Semua kanser berpunca daripada kerosakan kepada gen-gen ini. Kerosakan ini selalunya berlaku semasa hayat kita, walaupun ada sebilangan kecil manusia yang mewarisi gen yang rosak daripada ibu atau apabila mereka dilahirkan.

Lazimnya, sel-sel membesar dan membahagi dengan cara yang teratur. Walau bagaimanapun, gen yang rosak akan menyebabkan sel-sel ini bertindak secara abnormal. Mereka mungkin membesar membentuk suatu gumpalan yang dipanggil tumor, yang mungkin berkanser atau tidak.

Pundi Kencing

Pundi kencing ialah suatu organ yang berongga, berotot dan spt belon yang menyimpan air kencing. Ia terletak di bahagian bawah abdomen. Pundi kencing dialaskan suatu membran yang menghalang kencing diserap kembali ke dalam tubuh. Sel-sel membran ini dipanggil sel-sel peralihan atau sel-sel urotelia, dan pengalas membran dipanggil urotelium.

Ginjal atau buah pinggang menghasilkan kencing (urin) yang dibawa ke pundi kencing melalui tiub-tiub yang dipanggil ureter. Pundi kencing kemudiannya menyimpan kencing sehingga pundi ini penuh dan dapat dialirkan keluar melalui suatu tiub dipanggil uretra, yang mengalirkan kencing keluar daripada tubuh.

Pada wanita, uretra merupakan tiub yang pendek yang terletak betul-betul di hadapan vagina (kanal lahir). Pada lelaki, tiub ini lebih panjang dan melalui kelenjar prostat dan zakar.

Kanser Pundi Kencing

Barah pundi kencing lazimnya dihidapi oleh mereka yang berumur 55 tahun ke atas dan lebih dua kali ganda menyerang lelaki berbanding wanita.Barah pundi kencing jarang dijumpai pada lelaki dan wanita di bawah umur 40 tahun. Berbanding barah jenis lain yang meragut nyawa pesakitnya dalam tempoh yang singkat selepas diagnosis, kebiasaannya pesakit barah pundi kencing masih hidup lima tahun selepas didiagnos.

Hampir kesemua barah pundi kencing ditemui di urotelium (pengalas pundi kencing). Ia dipanggil barah sel peralihan. Mereka wujud dalam berbagai bentuk yang berbeza dan boleh bertindak dalam berbagai cara yang berbeza. Banyak barah sel peralihan membesar di bahagian dalam pengalas pundi kencing. Ini dipanggil kanser superfisial.

Punca

Beberapa faktor diketahui meningkatkan risiko mendapat barah pundi kencing. Antara faktornya ialah:
  • Merokok merupakan faktor yang paling mustahak. Beberapa bahan kimia yang ditemui di dalam rokok diketahui menjadi punca barah pundi kencing. Beberapa golongan cendikiawan Islam dan para mufti serta ulama juga berpendapat merokok ialah haram atas sebab-sebab perubatan seperti diterangkan di artikel ini.
  • Pendedahan kepada beberapa bahan kimia tertentu di tempat kerja, contohnya petani yang menggunakan racun rumpai, bahan yang digunakan pekerja di dalam pewarnaan tekstil dan industri getah. Barah pundi kencing mungkin mula membentuk setelah beberapa tahun selepas terdedahnya kepada bahan kimia tersebut.
  • Sistis (inflamasi pundi kencing) yang kerap berpunca daripada jangkitan bakteria yang berulang-ulang dan karang pundi kencing telah dikaitkan dengan barah pundi kencing tetapi ini tidak semestinya menyebabkan barah ini.

Gejala atau Simptom

Gejala paling biasa ialah hematuria (darah di dalam kencing). Ini biasanya berlaku tiba-tiba dan tidak menyakitkan. Darah ini mungkin hadir pada suatu hari tetapi hilang keesokannya. Kadang-kala gumpalan-gumpalan darah boleh terbentuk. Dan ini mungkin menyebabkan kekejangan otot di dalam pundi kencing. Kadang kala darah hadir dalam jumlah yang mikroskopik (tidak dapat dilihat dengan mata kasar). barah pundi kencing selalunya dikesan "secara tidak sengaja" melalui ujian-ujian rutin. Sesetengah orang mungkin merasa pijar semasa mereka membuang air kecil dan perlu membuang air selalu. Pada peringkat awal, pesakit akan menemui doktor selepas mendapati mereka mendapati kencing bercampur darah. Tetapi sebenarnya, pesakit sudah lama mengalami kencing berdarah tanpa mereka sedar.

Rawatan

Jenis rawatan yang dipilih akan bergantung kepada sama ada kanser itu superfisial (hanya di dalam pengalas pundi kencing) atau invasif (telah menyerang dinding pundi kencing dan bahagian lain).

Kanser superfisial dikeluarkan melalui suatu prosedur yang dipanggil reseksi trans uretra atau Transurethral Resection of Bladder Cancer (TURBT) . Pesakit akan diberi anestetik am. Doktor akan memasukkan sistoskop, suatu tiub yang halus yang mempunyai lensa dan lampu, melalui uretra ke dalam pundi kencing. Sistoskop ini membolehkan doktor melihat bahagian dalam pundi kencing.

Video tentang prosidur pembedahan TURBT:









Setiap tumor akan dikeluarkan. Doktor mungkin menjalankan elektosurgeri. Kawasan sekitar tumor itu dilecuh (dibakar) untuk mencegah perdarahan yang berlebihan. Ini kelihatan teruk tetapi ianya selamat dan suatu cara yang lazim untuk mengeluarkan tisu berpenyakit. Beberapa tumor boleh dirawat pada suatu masa.

Imunoterapi (atau terapi biologi ) ialah penggunaan bahan-bahan yang dihasilkan secara semula jadi di dalam badan untuk menggalakkan sistem imun melawan penyakit. Suatu vaksin yang dipanggil BCG (Bacillus Calmette-Guerin) yang dimasukkan ke dalam pundi kencing telah dilihat sebagai rawatan yang berkesan bagi kanser pundi kencing superfisial.

BCG mengandungi bakteria tuberkulosis hidup, jadi langkah-langkah berjaga harus dipatuhi. Cara sebenar rawatan ini bertindak tidak diketahui sepenuhnya, tetapi mungkin vaksin itu boleh memulakan suatu tindak balas di dalam pundi kencing yang merangsang sistem imun tubuh untuk mengurangkan atau membinasakan sel-sel kanser.

Kemoterapi ialah penggunaan dadah anti kanser (sitotoksik) yang khas untuk membinasakan sel-sel kanser. Ia bertindak dengan menghalang tumbesaran sel-sel kanser. Kemoterapi membantu sesetengah pesakit yang menghidapi kanser pundi kencing. Dadah tersebut boleh diberi secara langsung ke dalam pundi kencing atau secara intravena (melalui suntikan ke dalam vena).Kemoterapi kadang-kala digunakan seperti imunoterapi BCG: dadah kemoterapi dimasukkan ke dalam pundi kencing berhampiran tumor. Kemoterapi yang diberi secara langsung ke dalam pundi kencing dipanggil kemoterapi intravesikal. Dadah dilalukan melalui keteter dan masuk ke dalam pundi kencing. Pemberian kemoterapi begini membolehkan dadah bertindak secara terus dengan tumor dan pengalas pundi kencing. Ia juga mengurangkan kesan-kesan sampingan, kerana hanya sangat sedikit dadah dapat masuk ke saluran darah untuk memberi kesan ke atas seluruh tubuh. Dadah ini boleh diberi sekali gus dengan satu suntikan atau di dalam suatu siri suntikan mingguan selama enam minggu.

Kadang-kala kanser itu mungkin terlalu besar untuk dikeluarkan melalui sistoskop, atau mungkin telah mulai membesar menembusi dinding pundi kencing. Di dalam kes-kes ini, adalah mustahak untuk membuang sebahagian atau keseluruhan pundi kencing. Jika sebahagian daripada pundi kencing dibuang, pembedahan ini dipanggil sistektomi separa. Selepas pembedahan ini pesakit dapat membuang air kecil seperti biasa tetapi pundi kencing akan menjadi lebih kecil dan oleh itu hanya dapat menyimpan kencing yang kurang dan pesakit perlu membuang air kecil dengan lebih kerap.

Jika keseluruhan pundi kencing dibuang, melalui pembedahan yang dipanggil sistektomi radikal, tempat penyimpanan baru bagi kencing perlu dibuat. Jika kanser telah merebak ke bahagian luar pundi kencing, doktor akan menghentikan perkembangan seterusnya dengan membuang pundi kencing dan organ-organ yang berhampiran dengan pundi kencing. Pembedahan ini dipanggil sistektomi radikal.

Cara paling biasa bagi mengadakan tempat penyimpanan yang baru bagi kencing ialah dengan membentuk suatu urostomi. Semasa pesakit menerima anestetik am, doktor akan mengeluarkan sebahagian usus kecil, menyambung dua ureter ke suatu hujung dan menyambung hujung yang satu lagi yang di biar terbuka menembusi kulit abdomen. Ini dipanggil ileal konduit kerana bahagian kecil usus kecil (ileum) itu bertindak sebagai saluran paip untuk membawa kencing dari ureter dan mengalirkannya ke permukaan abdomen. Usus akan disambung semula setelah bahagian untuk kegunaan urostomi diambil.

Suatu beg yang leper dan kalis bocor disambungkan pada bukaan abdomen (stoma) untuk mengumpul kencing. Ia terlekat di abdomen dengan sejenis glu yang khas. Beg itu akan dipenuhi kencing sama caranya seperti pundi kencing dan perlu dikosongkan apabila perlu.

Pencegahan

Pencegahan kanser ini adalah sama seperti jenis kanser yang lain. Jauhi tabiat merokok yang menjadi punca utama pelbagai jenis kanser. Pengendalian jenis racun dan bahan kimia industri juga perlu dilakukan dengan mengikuti langkah-langkah keselamatan yang dicadangkan.

Penyelidik kanan di Institut Yakult Pusat, Dr Masaaki Watanuki, menyatakan bahawa satu kajian membuktikan terdapat hubungan antara pengambilan secara lazim Yakult dan risiko kanser pundi kencing. Kajian itu meliputi 180 pesakit kanser pundi kencing yang dirawat di hospital di tujuh wilayah Jepun dalam tempoh tiga tahun. Seramai 445 orang yang sihat dijadikan perbandingan dari segi umur dan jantina. Orang yang minum Yakult, perokok dan pelbagai tabiat lain dalam tempoh antara 10-15 tahun diselidik dengan menemubual pesakit dan kumpulan yang sihat. Hasil kajian menunjukkan, mereka yang mengambil Yakult mencatatkan penurunan risiko menghidap kanser pundi kencing, manakala mereka yang merokok meningkat peluang menghadapi penyakit itu.


Rujukan

http://www.cancer.org.my/bahasa/types_bladder.php

http://promote5.blogspirit.com/archive/2006/05/12/barah-pundi-kencing-kerap-serang-lelaki.html

http://www.thetole.org/MalayHerbalMedicine/BladderCancerTreatmentCure.html

http://www.bladderdisorders.info/articles/bladder-cancer/bladder-cancer-surgery.php

http://kesihatan-herba.blogspot.com/2008/01/dr-shirota-pelopor-hasilkan-bakteria.html

http://slonnek.blogspot.com/2007/10/kanser-pundi-kencing.html

http://www.muftiselangor.gov.my/E-Book/KoleksiBukuPanduanFatwa/FatwaWartaKerajaanSelangor11%201991-1997.htm

http://www.zaharuddin.net/content/view/259/95/

1 ulasan:

  1. minta izin kongsi info ni..

    kwn sy pn pernah hidap kanser tahap 4..tahap maut..puncanya dari Resdung..

    kini alhamdulillah selepas amik supplement TF..dia sihat..supplement ni trbukti hapuskn 97% sel kanser..

    brbanding kimoterapi yg hanya membunuh 88% sel kanser..tapi jg mmbunuh sel2 lain yg mmbuat bdn kita lemah dan rambut gugur..

    Terima Kasih

    BalasPadam