



Skuad Perwira Merah Kelantan menempa sejarah mara ke perlawanan akhir Piala Malaysia buat kali pertama dalam tempoh 39 tahun apabila menewaskan Perlis 3-1 di separuh akhir kedua yang berlangsung di Stadium Utama Negeri, Kangar, malam tadi.
Selepas mencatat kemenangan 2-0 pada separuh akhir pertama di tempat sendiri, Selasa lalu, Kelantan tidak bermain secara bertahan sebaliknya tenang sepanjang perlawanan untuk mara menerusi agregat 5-1.
Mohd. Norfarhan Mohamad muncul wira Kelantan semalam apabila melakukan hatrik di Kangar menerusi jaringan pada minit ke-26, 53 dan 87.
Perlis yang bermain agak tertekan dan kelihatan serba tidak menjadi sepanjang perlawanan memperoleh gol saguhati menerusi Mohd. Firdaus Fauzi pada minit ke-70.
Kali terakhir Kelantan mara ke final ialah pada 1970 tetapi tewas kepada Perak.
Lawan Kelantan di Stadium Nasional Bukit Jalil pada 7 November ini adalah Negeri Sembilan yang menewaskan Terengganu 3-1 dalam satu lagi separuh akhir kedua di Stadium Sultan Ismail Nasiruddin Shah, Kuala Terengganu.
Sumber:
