16 Julai 2009

Wang Kertas RM50 Siri ke-4

Dipetik daripada laman web Bank Negara Malaysia

Maklumat Umum untuk Wang Kertas Malaysia: RM50 (Siri Ke-4)

Bank Negara Malaysia kini mengeluarkan wang kertas RM50 baharu yang merupakan denominasi yang kedua tertinggi dalam siri wang kertas Malaysia reka bentuk terbaharu (Siri Ke-4). Reka bentuk baharu wang kertas RM50 ini merupakan denominasi yang pertama dalam Siri Ke-4 wang kertas Malaysia yang akan menggantikan siri sedia ada secara berperingkat-peringkat.

Reka bentuk baharu wang kertas RM50 ini mengekalkan warna utama hijau-biru. Tema utama reka bentuk ini ialah Misi Nasional yang teras pertamanya ialah meningkatkan nilai tambah dalam ekonomi negara, yang menggambarkan transformasi ekonomi Malaysia kepada aktiviti yang mempunyai nilai tambah yang lebih tinggi dalam sektor pertanian, perkilangan dan perkhidmatan ekonomi negara.

Pada bahagian hadapan wang kertas RM50 baharu ini, potret intaglio Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong yang pertama, Tuanku Abdul Rahman ibni Tuanku Muhammad, dikekalkan pada sebelah kanan dan bunga kebangsaan, bunga raya, pada bahagian tengah. Corak reka bentuk daripada tenunan songket pada bahagian latar dan bahagian tepi wang kertas menggambarkan kraf tangan tekstil dan sulaman tradisional rakyat Malaysia.

Pada bahagian belakang wang kertas RM50 baharu ini, Perdana Menteri Malaysia yang pertama, Tunku Abdul Rahman Putra Al-Haj, digambarkan dalam perisytiharan bersejarah kemerdekaan Malaya dan logo Ulang Tahun Kemerdekaan yang ke-50.

Orang ramai dinasihati supaya memberikan perhatian kepada ciri-ciri keselamatan dan reka bentuk wang kertas RM50 baharu ini seperti yang dinyatakan. Siri Ke-3 wang kertas RM50 sedia ada akan terus sah diperlakukan.

Pautan lanjut: http://www.bnm.gov.my/index.php?ch=75&pg=453&ac=29&lang=bm


0 comments:

Catat Ulasan